
SEHINGGA 31 Ogos lalu, tiga syarikat yang menyediakan perkhidmatan pesanan dalam talian dan media sosial telah berdaftar di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tiga syarikat yang telah memperoleh lesen tersebut ialah WeChat International Private Limited, TikTok Private Limited dan Telegram Messenger Incorporated.
Namun demikian katanya, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) masih meneruskan rundingan bersama dua lagi syarikat teknologi utama, iaitu Meta (yang mengendalikan Facebook, Instagram dan WhatsApp) serta Google (yang memiliki platform YouTube).
Fahmi menjelaskan rundingan ini bertujuan memastikan segala isu berkaitan pelaksanaan dan penguatkuasaan kerangka pelesenan dapat diselesaikan dengan sewajarnya, selaras dengan matlamat kerajaan untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
Mengulas mengenai platform media sosial X (dahulunya Twitter), Fahmi berkata, syarikat tersebut memaklumkan bahawa jumlah penggunanya di Malaysia masih belum mencapai nilai ambang lapan juta pengguna aktif seperti yang ditetapkan bagi memenuhi keperluan pelesenan.
“Namun, MCMC sedang menjalankan kajian baharu secara menyeluruh bagi menentukan jumlah pengguna di platform berkaitan di bawah kerangka pelesenan ini dan akan meneliti jika ada keperluan platform termasuk X didaftarkan sebagai pemegang lesen ASP(C),” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli mengenai perkembangan rundingan dengan platform media sosial yang belum memperoleh lesen ASP(C) serta halangan yang menyebabkan proses tersebut mengambil masa yang panjang, dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Pantai Dalam berkata, komunikasi terbuka sentiasa dikekalkan antara MCMC dan penyedia perkhidmatan yang masih belum memiliki lesen ASP(C), seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Proses pelesenan ini memerlukan masa kerana membabitkan penyelesaian pelbagai isu berkaitan pelaksanaan dan penguatkuasaan kerangka pelesenan bersama penyedia perkhidmatan asing berskala besar.
“Perbincangan merangkumi aspek teknikal, operasi dan pematuhan undang-undang kompleks yang memerlukan penelitian terperinci,” katanya.








