
SALAH satu kapal utama misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dikenali sebagai Family Boat dilaporkan diserang dron di perairan Tunisia, sehingga menyebabkan kebakaran ketika dalam pelayaran menuju Gaza.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia merangkap Ketua Pengarah Sumud Nusantara, Muhammad Nadir al-Nuri Kamaruzaman menerusi hantaran di Telegram beliau, pada pagi Selasa.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, kebakaran akibat serangan oleh rejim Israel berjaya dipadamkan dan semua individu yang berada di atas kapal telah dikenal pasti dan tiada kematian dilaporkan.
“Kapal yang dinaiki Greta, Thiago dan Yasemin dibom oleh dron ketika sedang berlabuh di Tunisia. Alhamdulillah api berjaya dikawal dan semua penumpang dalam keadaan baik.
“Protokol keselamatan sudah diaktifkan dan pihak berkuasa sedang mengambil tindakan yang perlu.Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Doakan,”katanya, pada Selasa.
Sementara itu, Global Sumud Flotila (GSF) dalam kenyataannya berkata, bot tersebut berlayar di bawah bendera Portugal dan kesemua enam penumpang serta kru berada dalam keadaan selamat.
Katanya, kebakaran telah menyebabkan kerosakan pada dek utama dan ruang simpanan di bawah dek, selain siasatan sedang dijalankan dan sebaik sahaja maklumat lanjut diperoleh, ia akan diumumkan segera.
“Tindakan agresif tersebut yang bertujuan menakut-nakutkan dan menggagalkan misi tu tidak akan melemahkan semangat para sukarelawan.
“Misi aman kami untuk memecahkan kepungan di Gaza dan berdiri teguh bersama rakyatnya akan diteruskan dengan tekad dan iltizam,” katanya.
Global Sumud Flotilla, yang dinamakan sempena perkataan Arab ‘sumud’ bermaksud keteguhan, terdiri daripada puluhan kapal membawa peserta dari pelbagai negara termasuk doktor, wartawan dan aktivis.
Inisiatif itu disertai sekitar ratusan aktivis dari Eropah, Afrika dan Asia.
Konvoi berkenaan memulakan pelayaran dari Barcelona pada akhir Ogos bersama satu lagi kumpulan dari Genoa, Itali, dan dijangka berlepas dari Tunisia menuju ke Gaza pada Rabu, esok.
Misi berkenaan bertujuan memecahkan sekatan Israel dan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.
Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza pada Ahad lalu melaporkan jumlah kematian akibat tindakan Israel menyekat makanan secara sistematik meningkat kepada 387 orang, termasuk 138 kanak-kanak

