
SIBU – Hospital Sibu kini merayu waris atau ahli keluarga kepada seorang pesakit lelaki, Ahmad bin Zaini, supaya segera tampil bagi urusan rawatan lanjut.
Pesakit tersebut dimasukkan ke Wad 14, Pembedahan Neuro, Hospital Sibu pada 2 September lalu namun sehingga kini tiada ahli keluarga hadir untuk melawatnya. Lebih membimbangkan, tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama pesakit berkenaan.
Menurut pihak hospital, lelaki itu juga mengalami masalah ingatan apabila tidak dapat memberikan maklumat lengkap tentang dirinya, hanya memaklumkan bahawa beliau berasal dari Sarikei.
“Sehubungan itu, pihak hospital menyeru mana-mana waris atau ahli keluarga pesakit untuk segera hadir ke Wad 14, Tingkat 1 Hospital Sibu atau menghubungi talian 084-238888 sambungan 6111 atau 6113 bagi tujuan perancangan rawatan,” menurut kenyataan itu.
Hospital Sibu turut berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat sekiranya mengenali pesakit terbabit agar proses rawatan dapat dijalankan dengan lebih teratur.

