
TOKYO – Seorang wanita warga emas berusia 80 tahun menjadi mangsa sindiket penipuan cinta dalam talian selepas terjerat dengan seorang lelaki yang menyamar sebagai angkasawan.
Nenek malang dari Pulau Hokkaido, Jepun itU berkenalan dengan suspek menerusi media sosial sejak Julai lalu sebelum diperdaya dengan pelbagai helah romantis sehingga timbul rasa percaya dan sayang.
Menurut laporan The Japan Times, lelaki terbabit mendakwa dirinya berada di angkasa lepas dan memerlukan bekalan oksigen segera bagi meneruskan misi kononnya.
Dengan alasan mendesak itu, suspek kemudiannya mengarahkan mangsa membuat pindahan wang sebanyak satu juta yen (RM29,000) ke dalam akaun yang diberikan.
Difahamkan, wanita tersebut tinggal seorang diri dan mula terjerat dengan pujukan kata-kata manis suspek yang sering berhubung dengannya secara maya.
Kes berkenaan mendapat perhatian pihak berkuasa Jepun yang menegaskan agar orang ramai lebih berwaspada dengan individu tidak dikenali di platform media sosial.
Polis turut menasihatkan mangsa atau ahli keluarga supaya segera membuat laporan jika mengesyaki ada unsur penipuan bagi mengelakkan kerugian lebih besar.
“Jika individu yang anda kenali di media sosial mula meminta wang tunai, sila berwaspada dengan kemungkinan ia adalah penipuan dan segera laporkan kepada polis,” tegas pegawai polis Tokyo.
Menurut Bank Dunia, Jepun merupakan negara kedua tertua di dunia selepas Monaco dengan majoriti penduduk terdiri daripada warga emas yang mudah menjadi sasaran sindiket penipuan.
Kejadian ini sekali lagi membuktikan bahawa sindiket scammer terus mengintai kelemahan golongan berusia dengan menyasarkan kesunyian serta kerinduan mereka terhadap teman berbicara.
Antaranya termasuk penipuan klasik “ini saya” di mana penjenayah menyamar sebagai ahli keluarga yang kononnya berada dalam kesusahan untuk memperdaya mangsa menyerahkan wang.
Polis turut memberi amaran warga emas juga sering dipujuk menggunakan mesin ATM bagi mendapatkan pulangan insurans atau pencen yang sebenarnya tidak wujud.






