
SEGAMAT – Sambutan ulang tahun ke-100 Sekolah Tinggi Segamat disemarakkan lagi dengan penganjuran Program Arkib@Sekolah yang dirasmikan Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj, sebagai usaha memperkukuh kesedaran sejarah dalam kalangan generasi muda.
Yuneswaran berkata, usia lebih satu abad institusi pendidikan berkenaan membuktikan peranan besar sekolah itu dalam melahirkan generasi berilmu, berdisiplin serta mempunyai semangat cintakan negara.
Menurutnya, Sekolah Tinggi Segamat bukan sahaja menjadi lambang kecemerlangan pendidikan di kawasan Parlimen Segamat, malah turut menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang memahami nilai perpaduan dan patriotisme.
Program tersebut turut mendapat kerjasama Jabatan Arkib Negara Malaysia di bawah Kementerian Perpaduan Negara bersama pihak sekolah dalam usaha memperkenalkan kepentingan pemeliharaan sejarah dan rekod negara kepada pelajar.
“Sejarah bukan sekadar subjek peperiksaan, tetapi asas membina jati diri, semangat patriotisme dan kefahaman terhadap perpaduan negara,” katanya ketika berucap dalam program berkenaan.

Yuneswaran turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Zaidin Mohd Noor; selain Pengetua sekolah, Shafee Abdul Hamid; para pendidik serta seluruh warga sekolah yang menjayakan sambutan bersejarah itu.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan inisiatif membawa semua pelajar Tingkatan Enam sekolah berkenaan melawat Arkib Negara Malaysia di ibu negara bagi memberi pendedahan secara langsung berkaitan sejarah, warisan dan pengurusan rekod negara.
Katanya, lawatan tersebut diharap dapat menyemai minat lebih mendalam terhadap bidang sejarah serta meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai pentingnya memelihara identiti dan warisan negara.
“Semoga pengalaman ini membuka minat pelajar terhadap sejarah, warisan dan pemeliharaan rekod negara,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menyalurkan sumbangan kepada Kelab Seni sekolah sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan seni, budaya dan tradisi dalam kalangan pelajar.
Yuneswaran menzahirkan ucapan tahniah kepada Sekolah Tinggi Segamat atas pencapaian membanggakan itu dan berharap institusi berkenaan terus unggul melahirkan generasi berilmu, berjiwa patriotik serta menghargai perpaduan negara.



