
LIMBANG – Umat Islam di Sarawak diseru untuk mencontohi akhlak dan kepimpinan Rasulullah SAW dalam usaha membina negeri yang maju serta makmur, selari dengan tema sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah tahun ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, Rasulullah SAW adalah teladan agung yang diutus sebagai rahmat kepada sekalian alam dan menjadi sumber ilham dalam memacu pembangunan negeri.
“Maulidur Rasul bukan sekadar perayaan, tetapi titik tolak untuk memperbaharui tekad mencontohi akhlak Baginda serta membina Sarawak yang sejahtera dan penuh kasih sayang berpandukan sunnah,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan yang berlangsung di Dewan Suarah Limbang pada Jumaat.
Beliau turut menegaskan pembangunan negeri tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal, tetapi perlu seimbang dengan kemajuan rohani, intelektual dan nilai murni.
Menurutnya, Kerajaan Negeri akan ter odeus menjadikan prinsip maqasid syariah sebagai asas pembangunan, termasuk pelaksanaan PCDS 2030 yang menekankan keseimbangan ekonomi digital, alam sekitar, sosial dan inklusiviti.
Hasbi menambah, Sarawak kini berada di landasan tepat dalam menjayakan agenda ekonomi hijau melalui Hydrogen Economy Roadmap, sekali gus berpotensi menjadi peneraju tenaga hijau di rantau Asia.
“Kita mahu umat Islam di Sarawak bangkit sebagai pembaharu, pencetus idea, pemikir strategik dan penggerak perubahan, bukan sekadar pengikut,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan Sarawak sebagai model perpaduan kaum dan keharmonian agama di Malaysia, hasil pendekatan moderat serta kepimpinan negeri yang inklusif.
Majlis tersebut turut diisi dengan perarakan selawat yang disertai seramai 78 buah kontijen dari sekolah, kampung dan agensi kerajaan, ceramah serta pelbagai pengisian kerohanian bagi memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.







