DALAM politik, demokrasi itu indah kerana adanya pilihan. Rakyat memilih pemimpin melalui persaingan idea, perdebatan hujah, dan keberanian mencabar status quo. Tetapi apa yang berlaku di dalam Pas hari ini jelas menunjukkan sebaliknya.
Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Presiden Pas tanpa bertanding. Bukan sekali, bukan dua kali, tetapi sudah berulang kali. Fenomena ‘tanpa bertanding’ ini kini seolah-olah menjadi tradisi rasmi dalam parti yang kononnya memperjuangkan Islam dan keadilan.
Apakah makna semua ini? Adakah benar ia tanda kesatuan? Atau sebenarnya tanda ketakutan?
Parti yang takut perubahan
Sejak 2002, kerusi Presiden Pas tidak pernah benar-benar dipertandingkan. Setiap kali muktamar, nama yang sama diangkat, dan nama yang sama diumumkan. Ahli hanya menjadi saksi, bukan penentu. Demokrasi yang subur di dalam negara tiba-tiba jadi kering kontang di dalam Pas.
Inilah masalah besar Pas ia bukan parti rakyat, ia adalah parti elit tertutup. Pemimpin dijaga, dipelihara, dan dipertahankan oleh sistem dalaman yang tidak memberi ruang untuk cabaran baharu.
Taat membuta tuli lawan budaya syura
PAS sering melaungkan slogan Islam, syura, dan keadilan. Tetapi apa gunanya slogan jika pintu pertandingan ditutup rapat? Di manakah ruang untuk ahli menilai, berhujah, dan memilih?
Apa yang wujud hanyalah budaya taat membuta tuli di mana kepatuhan kepada tokoh lebih diutamakan daripada keberanian mengangkat suara kebenaran.
Ini bukan syura. Ini bukan demokrasi. Ini hanyalah politik feudal yang berselindung di sebalik jubah dan serban.
Rakyat tidak bodoh
Pas boleh berbangga bahawa Presiden mereka menang tanpa bertanding. Tetapi rakyat melihat ia sebagai kemenangan kosong. Sebuah kemenangan yang tidak diuji, tidak dicabar, dan tidak pernah memberi pilihan kepada ahli atau rakyat.
Bagaimana sebuah parti yang gagal mengamalkan demokrasi dalaman mahu bercakap tentang demokrasi nasional? Bagaimana sebuah parti yang takutkan cabaran mahu membawa perubahan untuk negara?
Harapan tetap hidup di luar Pas
Dalam Pakatan Harapan, ruang untuk berbeza pandangan sentiasa terbuka. Pemimpin lahir melalui merit, hujah, dan keberanian berkhidmat. Kepelbagaian suara bukan kelemahan, tetapi kekuatan yang memastikan parti sentiasa segar dengan idea-idea baharu.
Kerana itu rakyat masih percaya kepada harapan sebuah wadah yang menolak politik jumud, menolak politik feudal, dan menolak politik tanpa pertandingan.
Pas boleh terus mengekalkan tradisi ‘tanpa bertanding’ sebagai tanda kesatuan mereka. Tetapi bagi rakyat, ia hanyalah tanda parti itu ketandusan demokrasi dan terlalu takut dengan perubahan.
Dan apabila parti takut pada perubahan, ia pasti akan ditinggalkan oleh zaman.
“Pencen pencen lah Ayoh Chik wei, lebih 20 tahun doh jadi Presiden Pas, beri lah ke orang lain pulok, bukan tok hormat ke Ayoh Chik, Ayoh Chik pun tok sihat mane, jalan orang pimpin doh guane?”






