SKUAD Harimau Malaya mengekalkan rekod tanpa kalah di bawah kendalian Peter Cklamovski selepas menewaskan Singapura 2-1 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Kemenangan ke atas pasukan Seberang Tambak itu menyaksikan Cklamovski meraih kemenangan ketiga daripada empat perlawanan dengan sebelum ini menundukkan Nepal 2-0 dan Vietnam 4-0.
Keputusan ini pastinya menjadi tonik terbaik buat anak buah Cklamovski yang akan berdepan ujian sukar menentang pasukan ranking ke-98 dunia, Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Isnin depan.
Stadium Nasional gamat dengan sorakan penyokong pada minit ke-26 apabila Wilkin memecah kebuntuan dengan satu rembatan deras menewaskan penjaga gol Singapura, Izwan Mahbud selepas menerima hantaran lambung Endrick Dos Santos.
Singapura cuba bangkit pada minit ke-29 menerusi percubaan Glenn Kweh Jia Jin tetapi ditepis Haziq Nadzli.
Bersambung babak kedua, Wilkin yang menjaringkan gol pertama bertindak selaku arkitek bagi gol kedua Malaysia menerusi gerakan dari sebelah kanan pada minit ke-55.
Gerakan bermula daripada hantaran Endrick yang melorongkan bola ke Wilkin sebelum hantaran lintangnya ditampan kemas Figueiredo untuk menewaskan Izwan dan menggandakan kelebihan skuad negara.
Haziq yang jarang diuji sepanjang perlawanan akhirnya tewas pada minit ke-71 apabila rembatan kencang pemain gantian, Ilhan Fandi dari luar kotak penalti menerjah jaring untuk merapatkan jurang kepada 1-2.
Keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat dan mengesahkan kemenangan Malaysia di hadapan 22,329 penyokong yang hadir di Bukit Jalil.





