
SANDAKAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung mengesahkan akan tetap mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah nanti.
Bekas Pengerusi DAP Sabah itu berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima permintaan daripada rakyat serta penyokong setia di kawasan berkenaan.
“Pilihan raya ini, saya tetap akan datang balik lagi pertahankan kerusi saya. Ini atas permintaan rakyat dan penyokong di sini,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Perkuburan Islam Baharu Kampung (Kg) Sim-Sim, di sini, pada Jumaat.

Mengulas mengenai persiapan menghadapi PRN akan datang, Frankie berkata, beliau sudah bersedia sejak hari pertama dipilih sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.
Katanya, walaupun pernah melalui tempoh sebagai wakil rakyat pembangkang, beliau tetap berkhidmat.
“Memang kita tidak putus asa. Masa jadi pembangkang, kita tetap bekerja keras.
“Selepas 2023, kerja lebih kuat lagi sebab ada sedikit peruntukan dari kerajaan untuk membantu rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Frankie turut mengulas mengenai majlis pecah tanah projek tanah perkuburan baharu seluas 1.6 hektar berhampiran Kampung Sim Sim.
Beliau berkata, tapak tersebut mampu menampung sehingga 1,000 kubur dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.
“Ini satu lagi bukti kita tunaikan permintaan rakyat. Isu tanah perkuburan ini sudah lama dibangkitkan kerana tapak sedia ada tidak lagi mencukupi dengan pertambahan penduduk,” ujarnya.






