KUANTAN – Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (PERDIM) akan menganjurkan seminar e-invois untuk pemilik klinik swasta pada 6 September ini.
Kursus itu dijadualkan berlangsung di sebuah hotel terkenal di Kuantan dan dijangka kira-kira 80 ahli PERDIM dari Pahang dan Terengganu mengambil bahagian dalam seminar berkenaan.
Presiden PERDIM, Dr Boi Saidi @ Nas Sayidi Abd Razak berkata, objektif utama penganjuran kursus itu adalah bagi melengkapkan ahli dengan pengetahuan mengenai sistem e-invois untuk merekodkan semua transaksi dalam talian di klinik swasta kendalian mereka.
“Sistem e-invois ini adalah satu sistem digital baharu yang merekodkan pembelian dan bayaran secara dalam talian dan ia dihubungkan terus dengan sistem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Jadi, saya fikir perlu diadakan satu kursus khas bagi melengkapkan ahli PERDIM dalam memastikan semua operasi mereka berjalan lancar sebaik sahaja penggunaan sistem e-invois dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, kursus sehari itu akan dirasmikan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim.
Katanya, wakil LHDN akan menyampaikan taklimat dan penjelasan berkaitan sistem itu sepanjang seminar berlangsung.
“Kita (PERDIM) berharap seminar ini dapat membantu doktor klinik swasta lebih bersedia dan memahami penggunaan sistem e-invois, sekali gus melancarkan proses perniagaan mereka,” jelasnya.




