
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 tidak bertujuan menjejaskan hak masyarakat Melayu, apatah lagi menyerahkan kawasan majoriti Melayu kepada pihak lain.
Beliau menolak dakwaan bahawa RUU berkenaan akan menyebabkan perubahan demografi bandar yang memihak kepada kaum bukan Melayu, khususnya kaum Cina.
“(Ada pihak) bimbang dan takut kononnya syarikat Cina akan ambil alih semua hak kawasan Melayu. Saya hendak tanya, sejak kita ambil alih kerajaan dengan penyertaan DAP dalam Kerajaan Perpaduan, kawasan mana yang kita serahkan kepada bukan Melayu?”
“(Ada pihak) bimbang takut syarikat Cina ambil alih semua hak kawasan Melayu. “Saya hendak tanya, sejak kita ambil alih kerajaan, dengan penyertaan DAP (dalam Kerajaan Perpaduan), kawasan mana yang kita serah (kepada bukan Melayu),” katanya.
Anwar berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN–Larut) dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
RUU PSB 2025 telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri semalam dan dibahaskan oleh 20 orang Ahli Parlimen.
Penggulungan dilakukan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Anwar menjelaskan bahawa RUU tersebut menetapkan syarat pembangunan semula bandar yang lebih ketat berbanding sebelum ini, dan tidak sama sekali menghakis hak penduduk asal, khususnya masyarakat Melayu.
“Kalau rumah sebilik akan digantikan dengan minimum tiga bilik. Kemudian mengenai demografi, adakah umpamanya dengan cara ini majoriti Melayu akan terhakis… setakat kita bangunkan, (RUU PSB 2025) berbeza dengan (syarat) terdahulu… tiada syarat ini.
“Saya selalu tegaskan di Parlimen ini, ujian paling kukuh bagi mana-mana pentadbiran ialah melaksanakan janji ketika berkuasa, termasuk projek perumahan. Boleh beri contoh di mana kelulusan kita hampir tiga tahun? Di mana kita pindahkan demografi majoriti Melayu kepada bukan Melayu? Tiada.
“Yang berlaku itu (kepemimpinan) terdahulu, tanyalah menteri sebelumnya yang sekarang dengan mereka (pembangkang). Mereka harus jawab,” katanya.
Perdana Menteri turut menafikan dakwaan bahawa beliau menjadi boneka kepada mana-mana pihak dalam soal dasar pembangunan bandar.
“Puluhan tahun, kerajaan mana yang serah tanah (milik) Melayu kepada Cina… kerajaan mana yang sanggup dan berani sejak 1957 beri tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur.
“Kita yang bagi (tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur) dan tiada bangkangan, ada persetujuan dalam Jemaah Menteri. Ini antaranya perumahan rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mempersoalkan pendirian Perikatan Nasional (PN) yang kini membantah RUU PSB 2025 walhal sebelum ini pernah mengemukakan cadangan pembangunan semula bandar ketika menerajui pentadbiran negara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun turut menegaskan bahawa kerajaan tidak memihak kepada golongan kaya dalam kelulusan projek di bandar.
“Saya mahu tanya dalam 33 bulan (pentadbiran PN) ada tak cadangan bangunkan rumah kos rendah… ada tak cadangan projek perumahan. Ada cadangan sebenarnya, saya tengok menteri terdahulu ada cadangan sama, pembangunan semula bandar dan kini (apabila Kerajaan MADANI) buat (pembangkang) tunjuk perasaan, menentang.
“Saya mahu tahu mana satu (pendirian menteri perumahan terdahulu)… kalau betul dia setuju dan ada beberapa kelemahan, betulkan tetapi jangan menentang (RUU PSB 2025).
“Orang kata kita mahu dukung golongan kaya, lihat semua projek diluluskan di Kuala Lumpur sekarang, mana yang boleh kita katakan hanya memihak kepada golongan kaya? Semuanya (dilengkapi) syarat sekolah vertikal, rumah rakyat. Ini kita letakkan syarat. Tidak umpamanya tambah satu tingkat, komisen RM5 juta. Ini tak diizinkan sama sekali,” katanya.



