
KOTA KINABALU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November ini mengikut peruntukan Perlembagaan Negeri.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya berkata, menjadi tanggungjawabnya untuk memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebaik sahaja penggal DUN berakhir.
“Bila penggal tamat secara automatik, saya kena maklumkan SPR.
“Kalau tidak, saya tiada pejabat untuk bekerja. Itu memang tugas saya sebagai Speaker.
“Adakah kita jangka ada satu lagi kerusi? Itu pun saya tidak tahu. Saya juga menunggu arahan sama ada akan ada kerusi kosong atau tidak.
“Kalau ada, itu kerja saya untuk isi kerusi,” katanya semasa sidang media di Bilik Mesyuarat Rafflesia, Dewan Undangan Negeri Sabah, pada Khamis.

Katanya lagi, masih belum ada kepastian sama ada akan wujud kekosongan kerusi sebelum tarikh pembubaran.
Mengulas lanjut, mengenai kedudukannya, beliau menegaskan jawatan Speaker adalah amanah perkhidmatan bukan keistimewaan peribadi.
“Saya bukan ADUN sekarang, saya masih Speaker. Kedudukan Speaker lebih baik daripada ADUN kerana tugas saya adalah memastikan perjalanan sidang mengikut undang-undang.
“Kadang-kadang orang kata saya marah, tapi sebenarnya saya cuma menegur,” jelasnya.
Menurutnya, selepas tempoh pelantikan berakhir beliau tidak berhasrat memohon sambungan jawatan kerana itu terletak pada budi bicara Ketua Menteri untuk menasihati Yang di-Pertua Negeri Sabah.
“Pada usia saya sekarang, sepatutnya saya sudah bersara. Jika ada orang lain yang lebih layak, silakan,” ujarnya.





