N18 BN Mustaqim Zakaria
KUANTAN – Tindakan Pemuda Pas Pahang melabel Pemuda UMNO Pahang sebagai ‘penonton bisu’ adalah kurang cermat dan tidak bijak.
Dakwaan Pemuda Pas itu dilontarkan dengan merujuk kepada isu membabitkan kedaulatan negara dan maruah bangsa.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Mustaqim Zakaria menegaskan dakwaan dan tuduhan dilontarkan itu adalah tidak benar sama sekali.
“Saya fikir dia (Ketua Pemuda Pas Pahang, Zulfadli Zakaria) tengah ‘galak’, maklumlah baru dapat jawatan.
“Pemuda UMNO tidak pernah berdiam diri bila soal kedaulatan negara dan maruah bangsa dipijak.
“Contoh jelas ketika isu Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik baru-baru ini, kita tampil bersuara lantang tanpa kompromi.
“Ini bukan isu kecil. Bagi kami, bendera Malaysia bukan sekadar kain berwarna, tetapi simbol kemerdekaan, maruah dan kedaulatan negara,” katanya.
Mustaqim dalam masa sama mengingatkan tindakan mengibar Jalur Gemilang secara terbalik bukan boleh dianggap ‘sekadar gurauan’ tapi ia penghinaan terhadap negara.
“Bezanya kami tidak gunakan isu negara sebagai modal politik murahan untuk memburukkan mana-mana pihak.
“Ini bukan masa untuk berlawan siapa lebih hero di media sosial, tetapi masa untuk kita bersuara bersama mempertahankan negara tanpa mengira kepentingan politik,” jelasnya.
Beliau juga menjelaskan bahawa Pemuda UMNO Pahang hanya bersuara bila perlu dan tidak sesekali menjadi ‘penonton’ apabila maruah negara dipermainkan oleh mana-mana pihak.


