
PENAMPANG – Seorang wanita warga asing berusia 27 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan persundalan dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Bundusan di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang sekitar pukul 10.30 malam dari hasil risikan serta pemantauan terhadap kegiatan tidak bermoral di kawasan tersebut.
“Hasil pemeriksaan di salah sebuah bilik hotel menemui seorang wanita yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran.
“Siasatan awal mendapati suspek menggunakan platform atas talian untuk mendapatkan pelanggan dan dipercayai aktif menjalankan kegiatan ini,” katanya dalam kenyataan media, di sini, pada Isnin.
Turut dirampas dalam serbuan itu adalah beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan termasuk telefon bimbit, kondom serta sejumlah wang tunai.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun, denda, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Sammy menegaskan komitmen pihak polis dalam membanteras aktiviti tidak bermoral di daerah itu, dan menyeru orang ramai agar tampil menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah.
“Kerjasama orang awam amat penting bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan komuniti terus terpelihara,” katanya.






