PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sekali lagi mengulang retorik lama: hanya Pas parti Islam sebenar, manakala kelompok lain hanyalah Islam ‘palsu’ atau ‘ciptaan’. Artikel terbarunya berjudul ‘Mengapa Parti Ini Layak Dinamakan Islam’ cuba menegakkan hujah bahawa Islam tulen hanya wujud di bawah payung Pas.
Namun, persoalannya – sejak bila Islam menjadi hak mutlak sebuah parti politik?
Islam adalah agama untuk seluruh umat, bukan eksklusif kepada mana-mana parti. Ulama di Malaysia hadir dalam pelbagai aliran – ada di ABIM, IKRAM, UMNO, malah dalam Kerajaan MADANI sendiri – yang sama-sama memperjuangkan syariat, dakwah, dan pendidikan Islam. Jika Pas mendakwa hanya mereka pewaris Islam, bagaimana dengan jutaan umat Islam lain yang tidak menyokong Pas? Adakah mereka ‘Islam palsu’?
Hadi menyerang konsep MADANI kononnya sebagai Islam ciptaan manusia. Hakikatnya, Malaysia MADANI lahir daripada nilai Islam itu sendiri – rahmah, adil, ihsan – yang dipadukan dengan realiti masyarakat majmuk. Inilah kelebihan pendekatan Kerajaan MADANI: Islam ditampilkan sebagai agama yang inklusif, progresif, dan sesuai zaman, bukannya retorik sempit untuk politik kepartian.
Hadi cuba menggambarkan Pas istiqamah mencari reda Allah, bukan reda manusia. Tetapi sejarah membuktikan sebaliknya – Pas pernah bersekongkol dengan UMNO, kemudian dengan Perikatan Nasional, malah sanggup duduk semeja dengan parti-parti sekular demi kuasa. Jika benar ‘Islam tulen’ tidak tunduk pada manusia, kenapa Pas begitu ghairah mengejar kerusi Parlimen dan jawatan?
Naratif Hadi yang mendakwa hanya Pas pembawa Islam sebenar amat berbahaya. Ia memecahbelahkan umat, menanam benih takfiri, dan meletakkan parti lain seolah-olah musuh Islam. Sedangkan al-Quran sendiri mengingatkan: “Jangan kamu berpecah-belah dalam agama kamu” [al-An‘am: 159]. Islam menolak monopoli, apatah lagi jika ia dijadikan alat politik.
Hari ini, rakyat melihat dengan mata kepala sendiri – negeri yang ditadbir Pas berdepan masalah air, kemiskinan, peluang pekerjaan terhad, dan pelaburan asing yang hambar. Di atas pentas ceramah, mereka melaungkan syurga; tetapi di bumi nyata, rakyat terus bergelut dengan masalah asas. Islam bukan sekadar slogan, ia menuntut keadilan sosial, kebajikan rakyat, dan tata kelola yang baik sesuatu yang gagal ditunjukkan Pas.
Islam lebih besar daripada Pas. Islam tidak boleh dikurung di dalam kerangka politik sempit yang hanya berlegar sekitar ‘kami Islam tulen, orang lain Islam palsu’. Kerajaan MADANI membuktikan bahawa Islam mampu menjadi asas membina masyarakat moden, inklusif, adil, dan rahmah sesuai dengan keperluan Malaysia berbilang bangsa dan agama.
Hadi mungkin cuba menghidupkan naratif lama ‘Islam sebenar hanya Pas’, tetapi rakyat kini semakin sedar: Islam bukan milik parti, Islam milik semua.
“Berat nanang bedooh Ayoh Chik nok gomol Islang ke alik Pas je, Islang bukang milik Pas Ayoh Chik, Islang tu ugama, Pas tu parti politik.”







