NILAI aset hasil jenayah rasuah berjumlah RM31 bilion yang berjaya dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diibaratkan bersamaan dengan pembangunan ribuan rumah, sekolah, klinik dan jalan raya untuk kesejahteraan rakyat.
SPRM berkata, rasuah bukan sahaja menghakis kewangan negara, namun meragut peluang rakyat untuk hidup lebih selesa.
“RM31 bilion aset rasuah dirampas SPRM, bayangkan dengan nilai itu, negara boleh bina 58,431 Rumah Mesra Rakyat, 71 buah sekolah dan 158 buah klinik kesihatan.
“Selain itu, negara boleh menaik taraf jalan di kampung dan desa sejauh 4,024 kilometer,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Instagram, pada Rabu.
Pendedahan tersebut sekali gus membuktikan betapa seriusnya impak jenayah rasuah terhadap rakyat, kerana setiap sen yang dicuri bermakna hak rakyat untuk menikmati pembangunan dinafikan.
Pada 14 Ogos lalu, SPRM mendedahkan pihaknya telah berjaya melucut hak harta hampir RM28 bilion dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini menerusi pelbagai operasi besar.
Antara yang paling ketara ialah Op Metal ke atas sindiket penyeludupan besi, yang menyaksikan penyitaan aset bernilai lebih RM183 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya juga menyita hartanah bernilai RM620 juta melibatkan projek rangkaian fiber selain merampas aset mewah bernilai RM32 juta daripada kediaman seorang individu bergelar Tan Sri.
Menerusi operasi terbabit, SPRM menemui 217 jam tangan mewah serta 27 beg tangan berjenama yang jelas memperlihatkan gaya hidup melampau hasil daripada jenayah rasuah.
Selain itu, dalam kes penyelewengan dana projek pembinaan lebuh raya, agensi berkenaan turut menyita lebih RM36 juta, merangkumi wang tunai, kereta mewah dan akaun bank.
SPRM menjelaskan, penyitaan dan pelucuthakan aset merupakan strategi kritikal bagi memastikan penjenayah tidak menikmati hasil daripada kegiatan haram mereka.
Langkah itu juga menghantar mesej jelas kepada masyarakat bahawa rasuah hanya membawa kesengsaraan, sementara aset yang diperoleh secara haram akhirnya akan dirampas kembali untuk kegunaan negara.







