KUALA LUMPUR – Kerajaan Pahang mengumumkan pembinaan Kompleks Hybrid Shipyard Tanjung Agas di Pekan dengan nilai pelaburan mencecah RM75 bilion, sekali gus menjadikannya projek berimpak tinggi terbesar di negeri itu.
Projek pembangunan di kawasan seluas 1,010.47 ekar di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas itu dilaksanakan melalui kerjasama antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang dan Teroka Majubina Holdings Berhad, lapor Sinar Harian.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kompleks itu akan dibangunkan secara berfasa dengan menampilkan tiga komponen utama.
Menurutnya, ia melibatkan Green Vessel Recycling (GVR) sebagai pusat kitar semula kapal berteknologi hijau, fasiliti pembinaan kapal menyediakan kemudahan pembinaan serta penyelenggaraan dan Tank Farm Oil Platform (TFOP) sebagai pusat penyimpanan minyak dan gas.
“Fasa pertama akan dimulakan dengan pembangunan GVR yang dijangka mula beroperasi pada Julai 2027.
“Manakala fasa kedua membabitkan fasiliti pembinaan kapal serta TFOP yang dijangka siap dan beroperasi pada Mac 2029,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara PSK Pahang dan Teroka Majubina Holdings Berhad di sini, hari ini.
Turut hadir menyaksikan MoA berkenaan ialah Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Wan Rosdy berkata, projek mega itu dijangka membuka sehingga 25,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, khususnya anak Pahang, sekali gus memberi limpahan besar kepada ekonomi negeri dan negara.






