PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berbincang mengenai perkembangan terkini gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand bersama rakan sejawatnya, Hun Manet.
Perbincangan berlangsung melalui perbualan telefon, dengan antara turut disentuh termasuk perihal pasukan pemerhati sementara (IOT) yang menjalankan pemantauan rapi di kawasan sempadan kedua-dua negara berjiran itu.
“Saya telah bercakap dengan Perdana Menteri Kemboja saudara Hun Manet tengah hari tadi bagi membincangkan mengenai perkembangan terkini melibatkan gencatan senjata di antara pihak Kemboja dan Thailand.
“Kami turut menyentuh perihal IOT yang menjalankan pemantauan rapi di kawasan sempadan dua negara tetangga dan berbincang lanjut mengenai langkah lain yang boleh dilakukan untuk memperkemas keberkesanan operasi pemantauan oleh IOT,” katanya melalui Facebook.
Pada 28 Julai lalu, Perdana Menteri mengumumkan Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta serta tanpa syarat bagi meredakan ketegangan yang memuncak di sepanjang sempadan belum dimuktamadkan antara kedua-dua negara.
Negara berjiran itu mempunyai sejarah panjang dalam pertikaian diplomatik membabitkan kawasan sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditanda sepenuhnya.
Ketegangan antara Thailand dengan Kemboja mula memuncak 28 Mei lalu susulan pertempuran tentera antara kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan Preah Vihear yang dipertikaikan, mengakibatkan seorang anggota tentera Kemboja terkorban.







