
SIBU – Pendidikan seks wajar diberikan penekanan bukan sahaja sebagai ilmu akademik, malah sebagai panduan hidup bagi melindungi masa depan remaja daripada pengaruh negatif dan risiko gejala sosial.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh, berkata pengetahuan ini penting untuk membekalkan generasi muda dengan kesedaran, keyakinan diri, dan keupayaan membuat keputusan yang bijak.
“Pertama sekali, tahniah kepada semua pelajar kerana berjaya menamatkan bengkel ini walaupun ada yang mungkin berasa segan untuk membincangkannya. Namun, anda menghadapinya dengan hati terbuka dan penuh rasa ingin tahu,” katanya ketika merasmikan Program Ceramah Pendidikan Seks di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Merah pada Selasa.
Program berkenaan dianjurkan oleh Komuniti Madani Norkiah dengan kerjasama SMK Sungai Merah.
Menurut Wong, pendidikan seks membantu pelajar memahami nilai menghormati diri sendiri, membina hubungan sihat dengan orang lain, dan membuat pertimbangan yang tepat sebelum bertindak.
“Hidup akan menguji anda dengan pelbagai cabaran dan godaan, namun ilmu adalah perisai terbaik untuk kekal selamat, sihat dan gembira,” ujarnya.
Sementara itu, Residen Bahagian Sibu, Mohamad Porkan Abang Budiman, menyifatkan penganjuran program seperti ini sebagai langkah tepat dan penting dalam membina kesedaran awal dalam kalangan remaja.
Beliau menegaskan, pelajar bukan sahaja perlu berpengetahuan, malah perlu mempunyai sikap positif, keterampilan diri yang baik, serta menjauhkan diri daripada gejala sosial negatif.
“Perbincangan mengenai kesihatan seksual masih dianggap pantang dalam masyarakat kita. Namun, kajian membuktikan pendidikan tentang pencegahan kehamilan lebih berkesan mengurangkan kes kehamilan luar nikah berbanding hanya menekankan pendidikan menahan diri,” katanya.
Beliau turut berkongsi hasil tinjauan Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) yang mendapati lebih 80 peratus remaja memperoleh maklumat tentang seks dan pencegahannya daripada rakan sebaya dan Internet, berbanding daripada ibu bapa, doktor atau guru.





