
KUCHING – Kerajaan Sarawak hari ini melancarkan Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (Sarawak Energy Transition Policy – SET-P), yang menjadi panduan menyeluruh ke arah masa depan tenaga rendah karbon, selamat, saksama dan inklusif serta menyokong pertumbuhan ekonomi hijau negeri.
Majlis pelancaran disempurnakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) sempena Hari Libat Urus Awam–Industri anjuran Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty), pada 11 Ogos 2025.
Premier menegaskan, SET-P mengukuhkan kesinambungan dasar negeri seperti Sarawak Sustainability Blueprint 2030 (SSB 2030) dan Sarawak Hydrogen Economy Roadmap (SHER), sekali gus menempatkan Sarawak di hadapan dalam agenda tenaga boleh diperbaharui rantau ini.
“Hari ini kita melancarkan dasar kerajaan Sarawak iaitu Sarawak Energy Transition Policy. Dasar ini sejajar dengan kehendak dunia dan piawaian antarabangsa, serta menyokong landskap ekonomi global,” katanya ditemu bual oleh media di BCCK pada Isnin.
Menurut kerajaan Sarawak, SET-P berteraskan empat objektif: Keselamatan Tenaga, Peralihan Saksama & Adil, Kelestarian, dan Pertumbuhan Ekonomi. Pelaksanaan memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu Kuasa, Pengangkutan, Industri serta Bangunan Kediaman & Komersial bagi memastikan bekalan mencukupi dan mampu milik sambil mengurangkan jejak karbon.
Dasar ini dipacu melalui tujuh tunjang iaitu Tenaga Boleh Diperbaharui, Gas Asli, Kecekapan Tenaga, Mobiliti Karbon Rendah, Hidrogen Bersih, Penggunaan & Penyimpanan Karbon (CCUS) serta Tenaga Alternatif. Pendekatan bersepadu itu menyasar pengurangan pelepasan, pemodenan infrastruktur dan peluasan akses tenaga untuk semua lapisan rakyat.
Bagi mempercepat pelaksanaan, kerajaan menumpu kepada tadbir urus dan peraturan, pembiayaan dan pelaburan, infrastruktur, teknologi dan inovasi, serta tenaga kerja dan kemahiran.
Melalui kemudahan pembiayaan campuran (blended finance), modal awam dimanfaatkan untuk menarik pelabur swasta, termasuk penggunaan instrumen mitigasi risiko seperti jaminan dan insurans bagi meningkatkan bankability projek. Model ini merangkumi projek komersial berdaya maju, inisiatif manfaat awam dan penyelesaian baharu yang pulangannya di bawah kadar pasaran.

Kerajaan Sarawak mengunjurkan KDNK kumulatif RM500–RM600 bilion, peluang pelaburan RM580–RM700 bilion dan penciptaan sekitar 80,000 pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang 2050. Lebih 75 peratus manfaat ekonomi dijangka dinikmati kumpulan B40 dan M40.
Abang Johari turut menekankan kesinambungan projek tenaga termasuk Gas Road Map dan peluasan tenaga solar, selepas kejayaan awal dalam hidrogen.
Seiring keperluan industri baharu, Abang Johari menjelaskan pembangunan modal insan akan ditingkatkan, termasuk pelaksanaan pendidikan percuma bagi mempersiapkan generasi muda mengisi jurang kemahiran dalam ekonomi tenaga masa depan.
“Pakar luar melihat Sarawak mempunyai banyak sumber asli. Apa yang kurang ialah modal insan yang sepadan. Justeru, dasar ini menyediakan generasi muda mengisi jurang antara modal semula jadi dan produk baharu hasil perubahan global,” ujar beliau.
SET-P mengambil inspirasi daripada komitmen iklim antarabangsa menerusi siri Persidangan Pihak-Pihak (COP) iaitu Paris, Kyoto, Dubai, Baku dan persidangan akan datang mungkin diadakan di Brazil sekali gus memastikan hala tuju Sarawak seiring standard antarabangsa serta terus menarik pelabur global.






