
KOTA KINABALU – Orang ramai dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes kematian pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Zara Qairina Mahathir.
Ketu Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, masyarakat perlu memberi ruang dan kepercayaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh mengikut proses undang-undang.
“Sebenarnya, kita amat simpati dengan kejadian yang berlaku tetapi janganlah membuat andaian bermacam-macam sekarang ini.
“Kita tunggu proses undang-undang berjalan sebaik mungkin dan selepas itu barulah kita akan tahu apa puncanya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Festival Kebudayaan Rumpun Bajausamah di Pusat Kebudayaan
Rumpun Bajausamah di Lok Batik, di sini, pada Ahad.
Tambah Hajiji, banyak andaian tidak tepat telah tersebar dan perkara itu boleh menjejaskan proses siasatan.
“Beri kepercayaan kepada pihak polis untuk menyiasat dan apabila siasatan selesai, mereka akan mengumumkan hasilnya,” ujarnya.








