KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengalu-alukan kehadiran pembangkang – yang akan menganjurkan program Hogoh Jelai: Himpunan 30K Jentera Pas Pahang – di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.
Menurutnya, penganjur dan peserta boleh mengambil peluang melihat sendiri pembangunan yang dilaksanakan di kawasan itu.
“Saya mengalu-alukan kehadiran mereka untuk datang ke Jelai supaya mereka boleh melihat pembangunan di Jelai termasuk masjid, stesen bas di Jelai macam mana dan gerai-gerai yang dibangunkan di situ.
“Mereka juga boleh pergi meninjau projek ekonomi Agropolitan Gahai dan boleh datang ke kampung saya di Tanjung Gahai yang pernah dinobatkan Kampung Lestari Terbaik di peringkat negeri, selain mendapat johan di peringkat kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Sri Damai di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata demikian ketika mengulas pengumuman Pas yang akan menganjurkan program besar-besaran – Hogoh Jelai – pada Oktober ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai menjelaskan, masih banyak pembangunan yang boleh dilihat di kawasan tersebut dan kehadiran ‘ribuan orang’ pada program berkenaan turut memberi manfaat kepada peniaga tempatan.
Beliau juga berharap pada hari tersebut kedai-kedai di kawazan Jelai dapat menyediakan makanan yang sedap-sedap untuk menjamu mereka.
“Dalam masa sama, kalau boleh, mereka boleh pergi melihat galeri saya (iaitu) Galeri MB dan di dalam galeri tersebut mereka akan dapat melihat data-data di mana saya bertanding pada 2004, 2008 dan 2022.
“Saya sudah bertanding lima penggal dan mereka dapat melihat bahawa angka tidak pernah berbohong… setiap kali ada PRU (Pilihan Raya Umum), majoriti saya bertambah,” jelasnya.


