KUANTAN – Wanita UMNO Pahang menyelar kenyataan dibuat Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi yang didakwa menghina kepimpinan wanita dengan menyamakan mereka dengan haiwan.
Ketuanya, Norhasmimi Abdul Ghani berkata, kenyataan itu bukan sahaja biadab, malah mencerminkan pemikiran sempit dan prejudis terhadap wanita.
Katanya, pemimpin muda seharusnya menggunakan akal waras dan adab sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Kepimpinan seseorang dinilai dengan neraca Islam sebenar melalui iman, akhlak, amanah dan kewibawaan, bukan dengan menghina jantina atau menyamakan wanita dengan haiwan.
“Jika begini tahap pemikiran dibawa, rakyat berhak mempersoalkan kelayakan beliau memimpin dan mewakili parti.
“Jika Allah memuji, siapakah kita untuk mengeji,” katanya dalam satu kenyataan.
Norhasmimi memaklumkan, tindakan menghina wanita dengan perbandingan haiwan – sama ada lembu, biri-biri atau monyet – adalah bentuk penghinaan yang amat mengguris hati serta menjatuhkan maruah wanita.
Tegasnya, perbuatan itu bercanggah dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya menjaga kehormatan sesama insan serta tidak merendahkan mana-mana makhluk ciptaan Allah, apatah lagi wanita yang memainkan peranan besar dalam keluarga, masyarakat dan negara.





