Kesenjangan pembangunan antara wilayah diatasi melalui RMK13

PUTRAJAYA – Kerajaan komited menangani kesenjangan pembangunan antara wilayah bagi memastikan rakyat di desa – termasuk di negeri kurang membangun – menerima limpahan manfaat pembangunan secara adil, menyeluruh dan inklusif.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuh infrastruktur asas, merangsang aktiviti ekonomi dan menggalakkan pelaburan strategik, terutama di desa dan kawasan pembangunan.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, pelaburan berimpak tinggi diperluas ke luar kawasan tumpuan, termasuk di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping dan Pelabuhan Darat Perlis; Taman Perindustrian Hijau Bersepadu, Kerian dan Bandar Perindustrian Maritim Lumut, Perak.

Selain itu, Taman Perindustrian Tok Bali, Kelantan dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu, Sabah.

“Pembangunan infrastruktur berskala besar juga kekal sebagai keutamaan demi memperkukuh keterhubungan antara wilayah serta merangsang pertumbuhan kawasan sekitar secara terancang.

“Antara projek yang dilaksanakan, termasuk pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dengan pantai barat Semenanjung.

“Selain itu, Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru dan Transit Laju Autonomi Bertingkat (E-ART) Johor Bahru serta Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang,” ujarnya.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkhidmatan pengangkutan awam bersepadu di bandar utama akan ditambah baik bagi meningkatkan ketersambungan ‘batuan pertama dan akhir’ melalui tambahan 300 unit van transit responsif atas permintaan (DRT) dan tambahan 1,200 unit bas.

Kekerapan perkhidmatan tren penumpang juga akan ditingkatkan melalui penambahan 217 set tren penumpang, selain memastikan akses lebih lancar melalui naik taraf laluan sedia ada serta pembinaan jalan baharu.

Antara projek tumpuan termasuk menaik taraf Lebuhraya PLUS laluan Senai Utara-Machap, Johor dan Juru-Sungai Dua, Pulau Pinang; pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama, Pahang dan Kelantan; Lebuhraya Pan Borneo Sabah serta Lebuhraya Trans Borneo di Sarawak.

“Selain itu, jalan luar bandar juga turut diberi perhatian, antaranya pembinaan dan naik taraf jalan luar bandar sepanjang 2,800 kilometer (km) juga akan dilaksanakan, termasuk jalan utama dari Nanga Serau ke Nanga Seranau, Kapit, Sarawak; jalan dari jambatan Sungai Air Tawar ke Hutan Melintang, Bagan Datuk, Perak dan jalan Pos Sinderut, Lipis, Pahang.

“Pada masa sama, inisiatif ‘road-to-rail’ bagi memindahkan sebahagian besar pergerakan kargo dari jalan raya akan meningkatkan kadar penggunaan landasan daripada enam kepada 13 peratus, sekali gus risiko kemalangan jalan raya dapat dikurangkan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan memberi tumpuan khusus untuk memposisikan Sabah dan Sarawak sebagai hab tenaga mampan negara yang berdaya saing di peringkat serantau.

“Pelaksanaan inisiatif seperti Hab Hidrogen Sarawak dan Jaminan Bekalan Tenaga Sabah secara tidak langsung akan memperkukuh infrastruktur tenaga di kedua-dua negeri.

“Usaha ini turut membuka pelaburan berimpak tinggi, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi dan pembangunan teknologi bersih demi manfaat rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Bagi Pantai Timur iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu, pembangunan akan dipacu melalui pewujudan hab pengeluaran makanan negara yang bersepadu dan berdaya saing, sekali gus menjana peluang ekonomi baharu khususnya kepada penduduk desa.

Kerajaan juga katanya, akan meneruskan Inisiatif Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI sebagai pendekatan bersepadu yang digerakkan kementerian dan agensi bersama-sama badan korporat, syarikat swasta dan komuniti setempat mengikut keperluan dan permintaan komuniti di akar umbi.

“Kerajaan menyasarkan pelaksanaan 200 Kampung Angkat MADANI dan 1,000 Sekolah Angkat MADANI,” katanya.

Related Posts

Ekonomi Malaysia tunjuk prestasi kukuh, berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2026

CYBERJAYA – Ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi kukuh apabila mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2026, lebih tinggi berbanding 5.4 peratus yang direkodkan pada suku pertama tahun ini.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Isu eFishery: Salahkan kerajaan sahaja tidak tepati realiti pelaburan global

PUTRAJAYA – Naratif yang terus menyalahkan Kerajaan MADANI dalam isu pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) terhadap syarikat pemula akuakultur di Indonesia dikenali sebagai eFishery adalah terlalu simplistik dan tidak…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Ekonomi Malaysia tunjuk prestasi kukuh, berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2026

Ekonomi Malaysia tunjuk prestasi kukuh, berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2026

Genap setahun pemergian Zara, prosiding inkues penuh emosi

Genap setahun pemergian Zara, prosiding inkues penuh emosi

Young Syefura jumpa polis, JPJ isu pacuan empat roda muatan durian laju

Young Syefura jumpa polis, JPJ isu pacuan empat roda muatan durian laju

Politik Pas menyerupai Machiavellian, bukan berteraskan Islam -Tun Faisal

Politik Pas menyerupai Machiavellian, bukan berteraskan Islam -Tun Faisal

Ziarah Rohani buka ruang hayati sejarah tokoh ulama, agamawan

Ziarah Rohani buka ruang hayati sejarah tokoh ulama, agamawan

Maritim Sandakan patah cubaan seludup petrol subsidi di Sungai Sabine

Maritim Sandakan patah cubaan seludup petrol subsidi di Sungai Sabine