Sejahtera MADANI bakal dilancar banteras miskin tegar

PUTRAJAYA – Kerajaan akan melancarkan inisiatif Sejahtera MADANI esok sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membanteras kemiskinan tegar di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,  pelancaran itu adalah kesinambungan kepada komitmen kerajaan dalam memastikan kumpulan miskin tegar dan miskin, terus dibantu menerusi usaha sama kerajaan dan sektor korporat.

“Ikhtiar Menoktahkan Kemiskinan Tegar, keutamaan saya sejak awal. Hampir 150,000 isi rumah miskin tegar pada 2023 telah keluar daripada kelompok miskin tegar akhir 2024.

“Esok, saya akan meluncurkan Sejahtera MADANI iaitu ikhtiar untuk terus memastikan kumpulan miskin tegar dan miskin dibantu sewajarnya melalui usaha sama kerajaan dan sektor korporat,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika mengumumkan penghargaan untuk rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran televisyen utama serta platform media sosial, pada Rabu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan secara berterusan akan terus menambah baik pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan beban sara hidup rakyat, yang telah dilakukan sejak daripada awal pentadbiran.

“Antara langkah signifikan yang telah dilakukan ialah peruntukan tertinggi disalurkan kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu RM13 bilion, yang mencatatkan jumlah tertinggi dalam sejarah.

“Peruntukan bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut ditingkatkan kepada RM2.9 bilion, antaranya bagi menaikkan kadar bantuan kebajikan bulanan warga emas dan kanak-kanak keluarga miskin,” katanya.

Anwar berkata, Kerajaan MADANI juga jelas membela nasib pesawah padi termasuk menaikkan Harga Lantai Belian Padi kepada RM1,500 pada 2025, selepas kenaikan pada 2022 dan 2023, selain Kadar Skim Subsidi Harga Padi juga ditingkatkan kepada RM500 pada 2023.

Dalam sektor komoditi, beliau berkata kerajaan juga menaikkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3 sekilogram pada 2024, selepas kenaikan diberikan pada 2022 dan 2023.

Anwar hari ini turut mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya dan harga subsidi RON95 lebih rendah pada harga RM1.99 seliter.

Beliau berkata, beberapa lagi langkah dan ikhtiar baharu akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2026 yang dijadual dibentang Oktober ini.

“Yang ini (inisiatif diumum hari ini) sekurang-kurangnya langkah-langkah sementara, akhir 2025, insya-Allah kita akan perbaiki dengan iltizam jelas untuk beri manfaat pada 2026 dalam Belanjawan 2026 pada Oktober 2025 ini.

“Kerajaan MADANI komited akan terus mengemudi pentadbiran negara dengan lebih bertanggungjawab dengan memperkenalkan dasar dan tindakan yang boleh menjamin keselesaan kepada rakyat,” katanya.

Related Posts

PNGK STPM 2025 catat rekod tertinggi dalam sejarah

SELAYANG – Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) kebangsaan bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah apabila mencapai 2.88. Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia, Prof Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pas akan telan UMNO? Pengajaran politik daripada kemelut PN

DALAM politik, sejarah sering menjadi petunjuk kepada masa depan. Walaupun keadaan tidak pernah sama 100 peratus, corak dan kecenderungan politik yang pernah berlaku boleh dijadikan pengajaran kepada mana-mana parti yang…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PNGK STPM 2025 catat rekod tertinggi dalam sejarah

PNGK STPM 2025 catat rekod tertinggi dalam sejarah

Pemimpin akar umbi perlu perkukuh perpaduan masyarakat

Pemimpin akar umbi perlu perkukuh perpaduan masyarakat

Antara nilai rahmah, maslahat ditanggung tuan rumah

Antara nilai rahmah, maslahat ditanggung tuan rumah

MPSepang ambil tindakan penjaja tanpa lesen

MPSepang ambil tindakan penjaja tanpa lesen

Zainudin dilantik Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang baharu

Zainudin dilantik Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang baharu

Pas akan telan UMNO? Pengajaran politik daripada kemelut PN

Pas akan telan UMNO? Pengajaran politik daripada kemelut PN