KUANTAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperluaskan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar kepada bas milik institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah berasrama penuh (SBP).
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, jabatan itu akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan untuk melakukan pemeriksaan secara berperingkat bermula bulan depan.
Katanya, pasukan teknikal JPJ dan penguatkuasaan JPJ negeri akan digerakkan bagi memastikan pemakaian tali pinggang kepada penumpang bas berkenaan.
“Boleh dikatakan semua IPT dan sekolah berasrama penuh mempunyai bas sendiri tetapi kita ingin memastikan bas yang diselenggara sendiri juga mematuhi spesifikasi dan pemandu juga mematuhi peraturan ditetapkan.
“Kita tidak mahu hanya menumpukan kepada bas persiaran dan ekspres sahaja,” katanya selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen (B2) peringkat Pahang 2025 di di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman, lapor Berita Harian.
Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata, jabatan itu tidak teragak-agak menggantung atau membatalkan lesen melalui Program MyLesen B2 jika didapati melakukan kesalahan jalan raya, khususnya terbabit dalam kegiatan merempit.
Katanya, langkah itu bertujuan untuk memastikan peserta program menghargai usaha yang dilakukan kerajaan persekutuan untuk memberikan mereka lesen sah.




