KPM tegas tangani penglibatan guru dalam aktiviti tidak bermoral – Fadhlina

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana guru atau warga pendidik yang didapati terbabit dalam kegiatan tidak bermoral, termasuk penyertaan dalam program yang bertentangan dengan etika profesion keguruan seperti program eHATI.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah tegas itu perlu bagi memastikan ajaran atau dakyah songsang yang diperoleh daripada program sedemikian tidak dibawa masuk ke dalam institusi pendidikan, sekali gus mengelakkan kerosakan terhadap ekosistem pendidikan serta krisis kepercayaan masyarakat terhadap sekolah.

Fadhlina berkata, KPM akan melaksanakan pemantauan rapi dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pihak sekolah dan agensi berkaitan termasuk badan agama, bagi memastikan tiada penyalahgunaan kedudukan oleh guru untuk terlibat dalam kegiatan yang bercanggah dengan nilai dan etika pendidikan negara.

Menurut beliau, pemantauan tersebut turut meliputi penilaian terhadap penglibatan guru dalam program luar yang tidak diiktiraf, khususnya yang mengandungi unsur yang bercanggah dengan ajaran agama, nilai kemanusiaan serta prinsip profesionalisme keguruan.

“Kami percaya guru di negara ini adalah individu berintegriti dan berdedikasi, namun jika ada yang menyimpang, KPM tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib termasuk penggantungan tugas atau pemecatan.

“Setakat ini, KPM belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung guru terbabit program tidak bermoral itu, tetapi jika ada, kita akan menyiasat dakwaan berkenaan secara serius,” katanya kepada BH pada Khamis.

Tambah beliau lagi, setakat ini KPM belum menerima aduan rasmi berkaitan penglibatan guru dalam program tidak bermoral seperti eHATI, namun sebarang dakwaan yang diterima akan disiasat secara serius.

“Langkah itu perlu kerana profesion perguruan satu amanah besar yang membabitkan pembentukan sahsiah dan nilai dalam kalangan murid. Jadi, kita tidak mahu guru atau warga pendidik terbabit program bertentangan nilai moral dan prinsip pendidikan negara,” katanya.

Fadhlina turut menggesa agar sebarang maklumat berhubung perkara tersebut disalurkan melalui saluran rasmi kementerian untuk tindakan lanjut.

Mengikut peruntukan sedia ada, guru yang terbabit dalam kegiatan tidak bermoral boleh dikenakan tindakan tatatertib berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993], termasuk amaran bertulis, teguran, pemotongan gaji, penangguhan kenaikan gaji, penurunan pangkat atau pemecatan.

Dalam hal ini, guru juga boleh digantung tugas sementara bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar tanpa mengganggu suasana persekolahan. Sekiranya kes berkenaan melibatkan unsur jenayah atau pelanggaran terhadap ajaran agama, siasatan lanjut boleh dijalankan oleh pihak polis dan jabatan agama.

Program motivasi eHATI yang mencetuskan kontroversi didakwa menyasarkan wanita berkerjaya termasuk guru yang mengalami krisis rumah tangga, serta dikatakan mengandungi unsur yang boleh menjejaskan maruah dan integriti profesion perguruan, di samping bertentangan dengan ajaran Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar sebelum ini memaklumkan bahawa siasatan terhadap penganjur program berkenaan sedang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Mengulas lanjut, Fadhlina turut mengingatkan semua institusi pendidikan di bawah seliaan KPM supaya menilai dengan teliti sebarang program luar sebelum melibatkan guru atau murid agar tidak timbul elemen yang boleh mencemarkan reputasi pendidikan negara.

Katanya, warga pendidik harus memberi tumpuan kepada usaha membina kekuatan dan semangat dalam kerjaya mereka dan KPM juga menyediakan pelbagai bentuk sokongan serta pembangunan profesional secara berterusan kepada guru demi memperkasa profesion perguruan dalam ekosistem pendidikan yang lebih terarah dan selamat.

Related Posts

SPR tingkat kesiapsiagaan hadapi kemungkinan pilihan raya dalam masa terdekat

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan dalam masa terdekat sebagai persediaan menghadapi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kerajaan gesa Zionis bebaskan 25 rakyat Malaysia sertai GSF 2.0

SUBANG – Kementerian Luar menggesa rejim Zionis segera membebaskan 25 rakyat Malaysia yang ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Naik taraf rumah pengebumian Cina Jalan Feeder tingkat kemudahan komuniti

Naik taraf rumah pengebumian Cina Jalan Feeder tingkat kemudahan komuniti

PKR Sarawak sifatkan tindakan Rafizi kosongkan kerusi Pandan khianati mandat rakyat

PKR Sarawak sifatkan tindakan Rafizi kosongkan kerusi Pandan khianati mandat rakyat

Kapal tunda, dua tongkang ditahan langgar Ordinan Perkapalan Saudagar

Kapal tunda, dua tongkang ditahan langgar Ordinan Perkapalan Saudagar

Pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah Selangor maut terjatuh dari apartmen

Pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah Selangor maut terjatuh dari apartmen

AI MyMahir gilap kemahiran digital, belia Sekijang disaran rebut peluang

AI MyMahir gilap kemahiran digital, belia Sekijang disaran rebut peluang

Perak tarik pelaburan hijau China, pacu gelombang baharu ekonomi lestari

Perak tarik pelaburan hijau China, pacu gelombang baharu ekonomi lestari