
PUTRAJAYA – Isu berkaitan pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu telah disuarakan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, namun tidak dibincangkan secara mendalam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut hanya disentuh secara ringkas selaras dengan kenyataan yang telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Isnin lalu.
“Tidak secara terperinci, hanya kemas kini sahaja, khususnya berkaitan perkara yang telah disebut oleh Perdana Menteri dalam perhimpunan bulanan JPM.
“Itu sahaja yang dibincangkan,” katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan berkenaan sama ada isu pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu ada dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, secara rasmi bersara hari ini setelah mencapai had umur persaraan wajib bagi hakim, iaitu 66 tahun.
Pada Isnin lalu, Perdana Menteri menegaskan bahawa sebarang lanjutan perkhidmatan penjawat awam, termasuk hakim, bukanlah sesuatu yang berlaku secara automatik, sebaliknya perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Anwar turut menekankan bahawa beliau tidak pernah mencampuri urusan kehakiman, termasuk dalam soal pelantikan hakim, meskipun terdapat gesaan agar tempoh perkhidmatan Tengku Maimun dilanjutkan.
Katanya, beliau komited terhadap kebebasan badan kehakiman, dan pelantikan hakim mesti dilaksanakan mengikut proses perlembagaan yang ketat.
Ujarnya, tidak seharusnya dipolitikkan kerana boleh menjejaskan integriti institusi berkenaan.
Terdahulu, beberapa pihak menggesa agar tempoh perkhidmatan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara dilanjutkan.




