PUTRAJAYA – Himpunan aman ‘Turun Anwar yang diterajui Pas pada 26 Julai depan, tidak mencerminkan suara rakyat sebenar, sebaliknya penggemblengan ahli parti yang taasub kepada pemimpin.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara itu dirancang dengan cara membakar emosi serta sentimen ahli dan akar umbi pembangkang ketika pelabur asing kembali yakin terhadap negara dan inflasi semakin terkawal.
Menurutnya, himpunan itu juga merupakan strategi politik daripada Pas serta Perikatan Nasional (PN) untuk menggugat kestabilan negara dan menghancurkan segala usaha pemulihan ekonomi yang sedang dilaksana oleh Kerajaan MADANI.
“Langkah diambil Kerajaan Perpaduan, termasuk penyasaran subsidi dan semakan struktur cukai jualan dan perkhidmatan (SST), bukan bertujuan menyusahkan rakyat tetapi menyelamatkan negara daripada terus dibebani ketirisan serta pemborosan yang diwarisi sejak dahulu.
“Kita tidak boleh terus hidup dengan subsidi pukal yang turut dinikmati oleh golongan kaya dan warga asing. Itu bukan keadilan. Itu kebocoran. Maka, penyesuaian dilakukan agar bantuan hanya sampai kepada rakyat yang benar-benar memerlukan,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, politik negara tidak akan melangkah ke hadapan jika pembangkang, khususnya Pas berterusan menghasut rakyat melalui himpunan itu dengan menjadikan isu cukai SST, penyasaran subsidi dan tarif elektrik sebagai modal politik jalanan.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena menegaskan, Pas sehingga ini tidak memiliki sebarang pelan ekonomi yang realistik terhadap negeri-negeri yang ditadbir oleh pihak pembangkang.
“Di negeri yang dikuasai parti terbabit seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, bekalan air terus menjadi krisis manakala peluang pekerjaan pula terhad.
“Pengurusan dan pembangunan negeri pun sebahagian dibantu oleh Kerajaan Persekutuan. Tapi mereka mahu tunjuk pandai dalam hal ekonomi negara,” katanya.
Sehubungan itu, Mahfuz menyakini, rakyat akan menolak politik jalanan yang cuba digerakkan Pas dan tidak akan membiarkan negara dijadikan bahan eksperimen politik sempit serta emosi tanpa fakta.
“Politik bukan sekadar jeritan di jalan raya. Politik adalah keberanian membuat keputusan yang sukar demi masa depan rakyat dan negara,” katanya
Sebelum ini, Dewan Pemuda Pas mengumumkan akan menganjurkan himpunan aman `Turun Anwar’ pada 26 Julai ini, mendakwa sebagai satu manifestasi besar rakyat Malaysia yang sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


