PUTRAJAYA – Sudah tiba masanya pasar malam diiktiraf sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan ekonomi, bukannya sekadar menjadi hal ehwal daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah, Dr Mohd Amirul Rafiq Abu Rahim berkata, Malaysia harus mencontohi negara seperti Taiwan atau Thailand yang menjadikan pasar malam sebagai destinasi pelancongan sehingga memiliki kemampuan menjadi tarikan yang wajib dikunjungi.
Menurutnya, pasar malam di negara ini jauh lebih kaya dengan makanan unik, kepelbagaian budaya dan suasana mesra rakyat tetapi masih belum diposisikan sebagai aset pelancongan utama.
“Banyak dasar kerajaan tentang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih terlalu fokus kepada syarikat formal yang berdaftar. Peniaga kecil seperti ini jarang dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem keusahawanan sedangkan mereka inilah yang mewarnai dan menggerakkan ekonomi tempatan saban hari.
“Mereka bukan sekadar peniaga kecil. Mereka adalah tukang masak, jurujual, pengiklan, pembekal yang semuanya berada di pasar malam. Mereka berniaga dalam panas, hujan, kadang-kadang tanpa jaminan sosial atau perlindungan insurans. Namun tetap tabah, kerana inilah mata punca rezeki, demi sesuap nasi,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Amirul memaklumkan, pasar malam juga adalah platform ‘latihan industri’ sebenar bagi usahawan kecil yang tidak memerlukan modal besar mahupun pejabat cantik namun harus memiliki semangat serta keazaman.
“Inilah ruang untuk mencuba dan gagal, belajar dan bangkit semula. Ada yang bermula dengan menjual makanan di meja lipat dan kini sudah mempunyai kilang kecil. Tetapi semuanya bermula dari lorong pasar malam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan, keperluan untuk peniaga pasar malam diberi sokongan kewangan dan latihan tanpa syarat yang rumit serta bersesuaian dengan realiti semasa dihadapi golongan terbabit.
Katanya, sediakan juga infrastruktur sesuai seperti tandas bersih, tempat letak kereta, akses pengangkutan awam yang bukan sahaja untuk pengguna tetapi juga untuk peniaga yang perlu mengangkut barang dari rumah ke gerai.
“Selain itu, geran mikro, skim pinjaman mudah atau latihan perniagaan asas boleh bantu mereka naik setapak demi setapak. Paling penting ialah kesedaran terhadap kesemua sistem sokongan ini dan permohonan yang tidak begitu menyusahkan.
“Pada masa sama, jangan paksa mereka bertukar kepada sektor formal terlalu cepat sebaliknya membantu mereka untuk berkembang dengan pilihan. Ada yang selesa dengan cara lama, ada yang mahu bergerak ke hadapan. Ia merupakan pilihan yang wajar dihormati,” katanya.



