KANGAR – Data daripada Banci Pertanian yang diumumkan baru-baru ini disifatkan sebagai asas penting dalam merangka dasar makanan negara yang lebih berkesan, khususnya dalam menangani isu kebergantungan import dan ketiadaan pelapis muda dalam sektor pertanian.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bancian tersebut menyediakan profil menyeluruh sektor pertanian merangkumi lokasi, jenis pengeluaran, penggunaan teknologi serta demografi petani hingga ke peringkat mukim dan daerah kecil.
“Buat pertama kali, kita memiliki data granular yang membolehkan kita mengenal pasti siapa petani, di mana mereka berada dan apa keperluan mereka.
“Maklumat ini penting bagi memastikan dasar yang dirangka bersifat bersasar, menyeluruh dan berpaksikan realiti sebenar,” katanya selepas majlis peluncuran laporan interim Banci Pertanian 2024 Negeri Perlis di sini hari ini.
Menurut beliau, sebelum ini negara kekurangan data asas yang lengkap untuk menilai prestasi sektor pertanian serta menentukan bentuk intervensi yang tepat, sekali gus menjejaskan keberkesanan program pembangunan dan bantuan yang dilaksanakan.
Uzir berkata, meskipun majoriti petani terdiri daripada golongan warga emas, penggunaan teknologi seperti dron dan automasi masih mampu mengekalkan tahap produktiviti tanpa kebergantungan sepenuhnya kepada tenaga fizikal.

Tambahnya, pengumpulan data secara bersepadu itu juga membolehkan kejayaan program diukur mengikut daerah, selain mengenal pasti amalan terbaik yang boleh dijadikan penanda aras bagi kawasan lain yang kurang produktif.
“Data bukan lagi satu pilihan, ia satu keperluan mutlak untuk menjamin keseimbangan bekalan dan permintaan makanan negara serta mengurangkan kebergantungan terhadap import,” tegasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata sektor pertanian di Perlis kini didominasi oleh golongan warga emas apabila lebih 10,000 petani berusia 60 tahun ke atas masih aktif mengusahakan tanah dan tanaman di negeri ini.
Jelasnya, bancian mendapati 54 peratus tenaga kerja dalam sektor tersebut terdiri daripada golongan tua, manakala hanya 399 orang petani berumur antara 15 hingga 30 tahun direkodkan.
“Kita perlu terima hakikat bahawa konsep persaraan tidak wujud dalam kalangan petani. Selagi sihat, mereka akan terus bekerja.
“Namun tanpa data yang tepat seperti banci ini, sukar untuk kita merancang siapa yang bakal menggantikan mereka pada masa akan datang,” katanya.
Laporan interim turut merekodkan seramai 18,839 individu terlibat dalam aktiviti pertanian di Perlis, dengan hampir keseluruhan merupakan warganegara dan hanya seorang bukan warganegara.
Daripada jumlah tersebut, seramai 14,422 merupakan lelaki manakala 4,417 wanita. Pecahan umur menunjukkan 10,241 (54.4 peratus) petani berusia 60 tahun ke atas; 5,160 (27.4 peratus) berumur antara 46 hingga 59 tahun; 3,039 (16.1 peratus) berusia 31 hingga 45 tahun; dan hanya 399 orang (2.1 peratus) berusia 15 hingga 30 tahun.





