
RINGGIT terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, didorong sentimen positif dalam pasaran mata wang pesat membangun susulan penyusutan nilai mata wang negara maju.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan itu mengukuh kepada 4.1995/2005 berbanding dolar AS, berbanding paras 4.2060/2130 yang dicatatkan ketika penutupan dagangan pada Isnin.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, status dolar AS sebagai mata wang selamat kini dinilai semula oleh pelabur, sekali gus menggalakkan pemindahan modal ke arah mata wang serantau termasuk ringgit.
“Berikutan pasaran kini dilihat agak stabil, ia mendorong pelabur lebih yakin untuk melabur dalam aset yang berisiko lebih tinggi seperti mata wang pasaran pesat membangun.
“Menariknya, ringgit yang sebelum ini sering dianggap ketinggalan di rantau ini kini berjaya menembusi paras rintangan teknikal utama, meskipun Malaysia menawarkan hasil yang lebih rendah berbanding beberapa negara pasaran pesat membangun lain,” katanya kepada Bernama.
Menurut beliau, mata wang Korea Selatan (won), Thailand (baht), dan ringgit merupakan antara yang paling berprestasi baik di rantau Asia pada hari berkenaan.
Bagaimanapun, berbanding beberapa mata wang utama lain, ringgit mencatatkan penyusutan.
Ringgit merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9351/9389 daripada 2.9156/9206, susut berbanding pound Britain kepada 5.7797/7866 daripada 5.7597/7693, dan turun berbanding euro kepada 4.9566/9625 daripada 4.9290/9372 pada penutupan sebelumnya.
Prestasi ringgit turut bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia mencatat pengukuhan berbanding rupiah Indonesia kepada 258.9/259.4 daripada 259.0/259.5, serta naik berbanding peso Filipina kepada 7.45/7.46 daripada 7.46/7.48.
Namun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3015/3059 daripada 3.2986/3034, dan lemah berbanding baht Thailand kepada 12.9363/9585 daripada 12.9356/9627.





