KUANTAN – Seramai 128 peserta mengambil bahagian dalam Pesta Menjala Sungai Dong, dekat Raub, pagi tadi.
Pesta julung kali diadakan itu adalah hasil idea ADUN Dong, Fadzli Mohamad Kamal dengan sokongan pimpinan dalam komuniti setempat.
Fadzli yang juga Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang berkata, penganjuran pesta julung kali diadakan itu mendapat sambutan sangat baik daripada semua pihak.
“Pesta ini mencatatkan sejarah tersendiri dan menerima jumlah penyertaan yang amat memberangsangkan.
“Program dimulakan dengan sarapan pagi dan taklimat keselamatan oleh wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Raub,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.
Beliau menambah, keadaan cuaca tidak menentu dan hujan malam tadi di sekitar Raub menyaksikan paras air Sungai Dong meningkat sedikit.
“Ia memberi cabaran kepada peserta yang mengambil bahagian, namun keadaan paras air itu melenturkan semangat mereka untuk menakluk Sungai Dong,” katanya.
Fadzli merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan pesta berkenaan.




