
KOTA KINABALU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menyokong penuh keperluan mendesak untuk menggubal dan melaksanakan Akta Pendanaan Politik yang menyeluruh, telus dan progresif.
Menurut Ketua Penerangan AMK Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus pelaksanaan ini bukan sahaja di peringkat persekutuan tetapi juga amat penting untuk dilaksanakan di semua peringkat negeri termasuklah di Sabah.
“Kenyataan ini menyambut gesaan BERSIH dan pihak masyarakat sivil yang memperjuangkan demokrasi dan integriti politik.
“Sabah telah lama bergelut dengan politik wang dan budaya ‘patronage’ yang menjejaskan pentadbiran dan kepercayaan rakyat.
“Kuasa politik sering dimonopoli golongan elit yang berduit, menjadikan politik ruang eksklusif bagi kroni bukan tokoh berwibawa.
“Budaya ini membuka ruang luas kepada amalan rasuah pembelian undi serta tawaran projek sebagai ganjaran politik,” katanya dalam kenyataan media, pada Ahad.
Tambahnya, tanpa undang-undang pendanaan politik yang adil dan telus, politik Sabah akan terus terperangkap dalam kitaran di mana wang mengatasi prinsip dan pengaruh menggantikan amanah.
“Ketiadaan peraturan yang ketat dalam aspek dana politik turut menyebabkan medan ini menjadi tertutup kepada ramai anak muda, wanita, aktivis masyarakat dan calon rakyat biasa yang memiliki kepimpinan dan wawasan namun tidak memiliki sumber kewangan besar.
“Pelaksanaan Akta Pendanaan Politik akan mewajibkan pendedahan sumber kewangan oleh semua parti dan calon secara telus dan bertanggungjawab.
“Banyak dana negeri di Sabah didakwa disalah guna untuk agenda politik menjadikan keperluan ini semakin mendesak.
“Ketelusan pematuhan terhadap akta ini akan memperkukuh integriti sistem demokrasi dan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap proses pilihan raya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hilmie mengingatkan bahawa usaha menggubal Akta Pendanaan Politik adalah selari dengan komitmen reformasi Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Komitmen ini perlu diteruskan dalam semangat Malaysia MADANI yang menekankan ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti institusi,” katanya.
“Pengalaman antarabangsa membuktikan undang-undang pendanaan politik mampu memperkukuh demokrasi dan mengekang rasuah secara berkesan.
“Negara seperti Jerman, Kanada dan United Kingdom telah lama mewajibkan pendedahan sumber dana politik, mengehadkan sumbangan individu serta melarang pembiayaan asing dan korporat tidak telus.
“Malah, ada negara turut menyediakan dana awam kepada parti politik bagi menjamin persaingan adil dan mengurangkan kebergantungan kepada penderma besar,” katanya.
Justeru itu, beliau menyeru agar Malaysia mencontohi amalan terbaik ini demi membina sistem politik yang bebas daripada pengaruh tidak wajar dan lebih berdaya tahan.
“Penggubalan Akta Pendanaan Politik perlu dilaksanakan segera melalui pendekatan terbuka dan inklusif, melibatkan parti politik, NGO, akademik, anak muda dan rakyat pelbagai lapisan.
“Jika benar mahu membanteras rasuah, memperkukuh demokrasi dan melahirkan kepimpinan berprinsip, akta ini tidak wajar ditangguhkan lagi,” katanya.







