Skim simpanan persaraan perlu diwujud buat pekerja tidak formal – GEM

PUTRAJAYA – Sudah tiba masanya untuk Kerajaan Persekutuan mewujudkan skim simpanan persaraan mikro yang direka khas untuk pekerja tidak formal.

Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Jose Rizal berkata, ia perlu dilaksana selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendedahkan 40 peratus tenaga kerja di Malaysia tidak mempunyai perlindungan persaraan.

Menurutnya, kenyataan itu menunjukkan gambaran jelas tentang ketidaktelusan dan kelemahan struktur perlindungan sosial yang masih gagal menjangkau kelompok pekerja tidak formal di samping ekonomi gig, termasuk komuniti pemandu e-hailing serta penghantar makanan.

“Skim tersebut mestilah fleksibel dan mesra realiti, dengan caruman minimum, tanpa paksaan, dan boleh dilakukan bila ada pendapatan. Antara cadangan kami adalah caruman serendah RM10 sebulan yang  boleh dilakukan melalui platform digital atau terus dari aplikasi e-hailing.

“Pada masa sama, ia perlu dilengkapi insentif padanan daripada kerajaan untuk galakkan penyertaan aktif. Model seumpama ini bukan idea baru. Ia telah berjaya dilaksanakan di negara lain seperti India dan Kenya,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.

Dalam pada itu, Jose berkata, turut menegaskan bahawa cadangan GEM sebelum ini mengenai penubuhan Kumpulan Wang Simpanan Persaraan Gig (KWSPG) bukanlah satu cadangan enteng.

“Ini adalah keperluan nasional yang mesti disegerakan. KWSPG bukan bertujuan menggantikan KWSP sedia ada, tetapi menjadi sayap khas yang lebih anjal, mesra pendapatan tidak tetap, serta direka mengikut realiti kehidupan pekerja gig dan tidak formal.

“Kami percaya KWSPG boleh menjadi model rujukan serantau jika dilaksanakan dengan betul, diselia dengan akauntabiliti, dimajukan dengan teknologi, dan dibangunkan bersama suara pekerja itu sendiri,” katanya.

Justeru, katanya, kerajaan, KWSP dan pihak industri termasuk syarikat platform perlu duduk semeja bagi merangka satu pelan tindakan nasional untuk memperluas liputan perlindungan sosial secara menyeluruh.

Pada masa sama, Jose memaklumkan, ia tidak harus dibebankan semata-mata kepada individu tetapi perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama kerajaan, agensi berkaitan dan industri.

“Beberapa perkara penting perlu segera dipertimbangkan, termasuk sasaran liputan KWSP yang lebih tinggi menjelang 2030, insentif cukai kepada pemain industri dan penyedia platform yang mencarum serta penubuhan Dana Penjana Simpanan Hari Tua untuk pekerja tidak formal.

“Pendidikan kewangan juga harus dilihat sebagai satu keperluan asas, bukan pilihan. Ramai pekerja gig tidak mencarum bukan kerana enggan tetapi kerana tidak tahu bagaimana untuk bermula, tidak yakin dengan sistem sedia ada atau kerana pendapatan yang tidak menentu.

“GEM menggesa pelaksanaan kempen pendidikan kewangan secara bersasar dan inklusif merangkumi pendekatan fizikal dan digital, serta melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), universiti dan persatuan komuniti. Kesedaran perlu dibina dari sekarang, bukan hanya selepas usia mencecah 50 atau 60 tahun,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ahmad Zulqarnain Onn memaklumkan kira-kira 40 peratus daripada tenaga kerja Malaysia masih tidak mempunyai perlindungan persaraan formal.

Menurutnya, golongan tersebut merangkumi pekerja ekonomi gig seperti penghantar makanan, pemandu e-hailing, individu bekerja sendiri dan mereka dalam pekerjaan tidak konvensional.

Related Posts

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi ini. Seri Paduka Baginda dan Perdana Menteri turut santap bersarapan bersama sempena cuti…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hayati nilai luhur, kasih sayang dalam hidup bermasyarakat

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar terus menyemarakkan nilai cinta, ihsan dan kasih sayang serta menolak sebarang hasutan kebencian yang cuba mencetuskan permusuhan antara kaum…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri

Tiada campur tangan pihak luar hentikan filem Konspirasi

Tiada campur tangan pihak luar hentikan filem Konspirasi

Hayati nilai luhur, kasih sayang dalam hidup bermasyarakat

Hayati nilai luhur, kasih sayang dalam hidup bermasyarakat

Marina Ibrahim umum undur diri daripada politik, mahu kembali berkhidmat di lapangan

Marina Ibrahim umum undur diri daripada politik, mahu kembali berkhidmat di lapangan

Lebih 500 ahli UMNO sertai program Gerakan Setia UMNO Jerantut

Lebih 500 ahli UMNO sertai program Gerakan Setia UMNO Jerantut

Keteguhan perpaduan, kebersamaan teras utama maju bersama – Hajiji

Keteguhan perpaduan, kebersamaan teras utama maju bersama – Hajiji