24 individu termasuk 17 rakyat Malaysia selamat tiba dari Iran

SERAMAI 24 individu, termasuk 17 rakyat Malaysia, berjaya dievakuasi dari Iran dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.50 malam, semalam.

Mereka terpaksa menempuh perjalanan darat sejauh hampir 1,000 kilometer merentasi Iran ke sempadan Turkmenistan dalam tempoh lebih 24 jam tanpa henti, sebelum menaiki penerbangan dari Ashgabat ke Bangkok dan seterusnya ke Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar berkata, laluan timur dipilih bagi mengelakkan kawasan berisiko tinggi susulan konflik yang sedang berlaku antara Israel dan Iran.

“Kita memilih laluan yang jauh daripada punca serangan yang datang dari arah barat. Alhamdulillah, kita mendapat kerjasama baik daripada pihak berkuasa tempatan bagi membolehkan pergerakan rentas sempadan,” katanya dalam sidang media sejurus tiba di KLIA.

Menurut Khairi, proses pelepasan di sempadan agak mencabar kerana ramai warga asing turut cuba keluar dari negara itu secara serentak.

“Perjalanan darat kami mengambil masa panjang dan penuh risiko sebelum tiba di sempadan Iran–Turkmenistan. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Ashgabat sebelum menaiki pesawat ke Bangkok dan akhirnya tiba di KLIA,” jelasnya.

Dalam pada itu, Khairi turut memaklumkan bahawa komunikasi dengan rakyat Malaysia di Iran masih dapat dilakukan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) antara nombor tempatan meskipun perkhidmatan perayauan antarabangsa tidak berfungsi.

“Kita cuba sebaik mungkin untuk kekal berhubung. Komunikasi antara nombor telefon Iran masih boleh digunakan, tapi ‘roaming’ (perayauan) antarabangsa memang tidak berfungsi.

“WhatsApp pula tidak dapat digunakan seperti biasa. Tapi nampaknya ia sudah mula berfungsi semula secara perlahan-lahan, walaupun masih dikawal pihak berkuasa,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pihak Kedutaan Malaysia akan terus menyalurkan maklumat sahih kepada keluarga di tanah air agar mereka sentiasa mendapat perkembangan yang tepat dan terkini.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairi turut memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 12 rakyat Malaysia masih berada di Tehran dan Shiraz, termasuk pelajar dan individu yang berkahwin dengan warga tempatan.

“Kita jangkakan kira-kira 12 orang masih berada di sana. Tapi kita terus pantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa.

“Kita pastikan mereka berada dalam keadaan selamat dan baik. Jika keadaan mengizinkan dan mereka memilih untuk keluar, kita akan bantu,” katanya.

Daripada keseluruhan kumpulan yang dievakuasi, 17 merupakan rakyat Malaysia, enam adalah warga Iran yang mempunyai pertalian rapat dengan mereka, dan seorang lagi merupakan warganegara Singapura.

Related Posts

Jaslinda ditemukan selamat selepas 15 hari hilang di Gunung Batu Putih

IPOH – Misteri kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian di Gunung Batu Putih, Tapah sejak 23 Mei lalu, akhirnya terjawab apabila mangsa ditemukan dalam…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pelajar TVET bakal jalani latihan di pusat penyelidikan kerajaan mulai bulan depan

PUTRAJAYA – Pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) akan diberi peluang menjalani latihan awal di pusat dan badan penyelidikan kerajaan di seluruh negara mulai bulan depan. Perdana Menteri,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Jaslinda ditemukan selamat selepas 15 hari hilang di Gunung Batu Putih

Jaslinda ditemukan selamat selepas 15 hari hilang di Gunung Batu Putih

Pelajar TVET bakal jalani latihan di pusat penyelidikan kerajaan mulai bulan depan

Pelajar TVET bakal jalani latihan di pusat penyelidikan kerajaan mulai bulan depan

Bekalan tenaga negara kekal kukuh melalui kepelbagaian sumber import

Bekalan tenaga negara kekal kukuh melalui kepelbagaian sumber import

Menteri Komunikasi santuni Komuniti MADANI di Tangkak, perkukuh peranan tangkis berita palsu

Menteri Komunikasi santuni Komuniti MADANI di Tangkak, perkukuh peranan tangkis berita palsu

Dua warga asing ditahan terlibat aktiviti bom ikan

Dua warga asing ditahan terlibat aktiviti bom ikan

Premis dikompaun jual ais bongkah tanpa lesen, aset RM2.1 juta dirampas

Premis dikompaun jual ais bongkah tanpa lesen, aset RM2.1 juta dirampas