Pendapatan rakyat masih rendah, sebab itu GST tidak dilaksana – PMX

PUTRAJAYA –  Kerajaan tidak melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) buat masa ini susulan nilai ambang pendapatan rakyat masih rendah dan belum mencapai tahap yang wajar untuk pelaksanaan sistem percukaian berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun GST adalah sistem percukaian paling efisien dan telus, kerajaan ketika ini memilih tidak melaksanakannya bagi mengelak beban berlebihan kepada golongan berpendapatan rendah.

“Saya masih ingat ketika menjadi Menteri Kewangan dulu, saya nyatakan di Parlimen bahawa GST adalah sistem percukaian yang efisien dan telus, namun saya terpaksa tangguhkan kerana pendapatan rakyat ketika itu terlalu rendah.

“Tapi sekarang, gaji RM1,700 (gaji minimum), RM2,000 masih ramai. Maka keputusan tidak laksana GST ini dibuat demi rakyat bawahan,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, pada Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan, walaupun beberapa pengecualian boleh diberikan jika GST dilaksanakan, masih banyak barangan tetap dikenakan cukai secara tidak langsung.

“Walaupun ada beberapa pengecualian, banyak barangan tetap dikenakan cukai secara tidak langsung. Naik bas pun kena cukai. Jadi, walaupun GST ini sistem yang baik, pelaksanaannya perlu mengambil kira kemampuan rakyat.

“Saya sebut dulu, biarlah pendapatan rakyat naik dulu, kalau gaji (minimum) sudah RM4,000, mungkin boleh (pertimbang semula), tetapi sekarang gaji RM1,700, RM2,000 masih ramai,” katanya.

Menjelaskan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Perdana Menteri berkata, penambahbaikan cukai yang berkuat kuasa 1 Julai ini dilaksanakan secara progresif dan bersasar.

Beliau berkata, pelaksanaan percukaian adalah bagi memastikan hasil negara dapat dikembalikan semula kepada rakyat menerusi peruntukan besar seperti dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

“Ambil contoh peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), pada 2023 sebanyak RM8 bilion disalurkan, kini mencecah RM13 bilion untuk manfaat sembilan juta rakyat. Begitu juga pendidikan, kita tambah kepada RM64 bilion untuk sekolah anak-anak kita.

“Kementerian Kesihatan juga terima peningkatan RM4 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan RM45 bilion. Ini bukti cukai yang diambil, kita pulangkan semula kepada rakyat dengan cara paling berfaedah,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut menegaskan agensi dan jabatan kerajaan diarah hanya menyediakan makanan termasuk buah-buahan tempatan pada jamuan rasmi.

“Saya sudah arahkan semua jabatan kerajaan tidak lagi guna makanan import untuk majlis rasmi. Di luar negara seperti Laos, Vietnam dan Thailand pun guna makanan tempatan.

“Kalau nak makan ikan kod, makan sendiri saja. Kita bantu petani, tingkatkan permintaan hasil tempatan,” katanya.

Related Posts

Projek SSMP tidak boleh terbengkalai kali keempat

PADANG BESAR – Projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis (SSMP) di Bukit Chabang yang terbengkalai selama 11 tahun tidak boleh lagi berulang sehingga menjadi satu kebiasaan. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anjing liar: Penguatkuasaan diteruskan, namun mesti berperikemanusiaan – Amirudin

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan terus melaksanakan tindakan terhadap isu anjing liar yang boleh mengancam keselamatan awam, namun penguatkuasaannya mesti dilakukan secara berhemah, berperikemanusiaan dan tidak bersifat kejam. Menteri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Projek SSMP tidak boleh terbengkalai kali keempat

Projek SSMP tidak boleh terbengkalai kali keempat

Wan Rosdy anggap pemergian Mohd Radzi kehilangan besar UMNO Pahang

Wan Rosdy anggap pemergian Mohd Radzi kehilangan besar UMNO Pahang

PDRM Sabah perhebat kerjasama strategik dengan Polis Indonesia

PDRM Sabah perhebat kerjasama strategik dengan Polis Indonesia

Hajiji sampaikan bantuan YKS RM30,600 pada 102 KIR terjejas banjir

Hajiji sampaikan bantuan YKS RM30,600 pada 102 KIR terjejas banjir

Penduduk rayu tindakan segera atasi ancaman gajah liar di Batu Puteh

Penduduk rayu tindakan segera atasi ancaman gajah liar di Batu Puteh

Empat maut Ford Raptor dihempap pokok tumbang

Empat maut Ford Raptor dihempap pokok tumbang