Tidak benar kerajaan tak pernah laksana libat urus isu SKPS

PUTRAJAYA – Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menyangkal tuduhan bahawa kerajaan tidak pernah mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha stesen minyak bagi membincangkan isu Sistem Kawalan Petrol Subsidi (SKPS).

Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, dakwaan daripada sebuah badan pertubuhan kerajaan (NGO) yang dikatakan mewakili pengusaha Bumiputera industri runcit petroleum disifatkan fitnah dan mengelirukan masyarakat awam.

Ini kerana, tegasnya, PDAM adalah satu-satunya persatuan yang terlibat secara langsung dan konsisten dalam beberapa siri libat urus rasmi bersama Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Kewangan.

“PDAM diberi mandat sebagai badan yang diiktiraf secara rasmi oleh pihak kerajaan sebagai suara utama mewakili pengusaha stesen minyak seluruh negara.

“Pihak kita juga bertindak sebagai persatuan payung yang mewakili persatuan pengusaha stesen minyak di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.

Dalam pada itu, Khairul Annuar berpandangan, terdapat keperluan buat kerajaan menangguhkan pelaksanaan SKPS sehingga dua isu kritikal yang memberi kesan kepada kelangsungan industri diselesaikan sepenuhnya.

Menurut beliau, dua isu utama itu adalah margin Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) dan Kadar Diskaun Kedai (MDR).

“Margin APM yang ditetapkan sejak 2019 tidak mencerminkan kos semasa dan tanpa semakan margin, pengusaha kecil dan sederhana akan mengalami kerugian pada hari pertama SKPS dilaksanakan.

“Manakala isu MDR pula melibatkan caj berdasarkan nilai jualan sedangkan komisen penguasaha berdasarkan liter.
Ini menyebabkan margin pengusaha terhakis apabila peningkatan harga pam akan meningkatkan MDR tetapi tidak menokok kepada komisen,” katanya.

Sehubungan itu, Khairul Annuar memaklumkan, PDAM yang dianggotai lebih 4,000 stesen di seluruh negara melaksanakan petisyen industri yang setakat ini berjaya mengumpul lebih 2,300 tandatangan.

“Jumlah itu mewakili lebih 60,000 stesen minyak di Malaysia dan hampir 70 peratus stesen jenama utama.

“Buat pertama kali, petisyen turut disertai oleh pengusaha jenama tempatan seperti Five Petroleum, BuraqOil dan SmartStream.

“Ini merupakan rekod sokongan tertinggi dalam sejarah PDAM dan bukti kukuh bahawa kebimbangan ini adalah menyeluruh dan merentas jenama serta kategori stesen,” katanya.

Related Posts

Ismail Lasim angkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan ke-13

SERI MENANTI – Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu selepas Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PH masih raih undi popular, namun tewas akibat sistem FPTP – Dr Hafidzah

KOTA BHARU – Pakatan Harapan (PH) masih mendapat sokongan besar rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 apabila merekodkan 40.2 peratus undi popular, namun gagal mempertahankan pentadbiran negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Dua kren dermaga baharu tingkat kecekapan operasi Pelabuhan Tawau

Dua kren dermaga baharu tingkat kecekapan operasi Pelabuhan Tawau

Jasa penderma darah terus dihargai

Jasa penderma darah terus dihargai

Mahasiswa digesa perkukuhkan pengetahuan demi masa depan Sarawak – Annuar Rapaee

Mahasiswa digesa perkukuhkan pengetahuan demi masa depan Sarawak – Annuar Rapaee

Pesta Makan Tahun Kedayan pacu pembangunan sosioekonomi Limbang

Pesta Makan Tahun Kedayan pacu pembangunan sosioekonomi Limbang

Ismail Lasim angkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan ke-13

Ismail Lasim angkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan ke-13

Komuniti Kampung Teh pelajari pembuatan sabun mesra alam

Komuniti Kampung Teh pelajari pembuatan sabun mesra alam