Tanggungjawab kepimpinan: Melampaui retorik dan sentimen

Oleh: Vinod Sekhar

KEPUTUSAN pemilihan PKR baru-baru ini sekali lagi menyalakan bara lama dan menzahirkan pola yang kian lazim—retorik mendahului realiti, nostalgia menenggelamkan keperluan semasa. Saya percaya bahawa kepimpinan bukan semata-mata tentang gelaran, ucapan berapi atau sorakan penyokong. Kepimpinan ialah tanggungjawab berat, keberanian untuk membuat keputusan, dan kerendahan hati dalam khidmat.

Pemilihan ini bukan sekadar tentang siapa yang menduduki kerusi parti, tetapi ujian kematangan—adakah PKR, sebagai parti reformasi yang telah sekian lama bertarung dari luar pagar kuasa, bersedia untuk meninggalkan mentaliti pembangkang dan benar-benar berfungsi sebagai pemerintah?

Kita perlu bersikap jujur

Nurul Izzah Anwar, yang baru dilantik sebagai Timbalan Presiden PKR, sememangnya dikagumi ramai. Beliau petah, berprinsip dan bersih daripada ‘lumpur’ politik yang sering mencemari tokoh lain. Namun, kekaguman tidak sama dengan keupayaan untuk memimpin. Jawatan Timbalan Presiden bukan sekadar bersifat simbolik—ia perlu berfungsi. Ia menuntut ketegasan, kecekapan, dan kesediaan untuk menjadi pelindung dan penggerak kepada Presiden, bukan hanya pemerhati di tepi gelanggang.

Saya mempunyai harapan besar terhadap Izzah. Tetapi harapan bukan strategi. Sejarah politik beliau menampilkan siri ucapannya yang mempunyai kelas tersendiri —tetapi bukan rekod pelaksanaan yang konsisten. Kini bukan masanya lagi untuk hanya memberi inspirasi dari kejauhan—beliau perlu masuk ke gelanggang, mengambil risiko, dan membuat keputusan sukar. Beliau perlu melangkah keluar daripada bayang simbol perjuangan, menjadi pelaksana sebenar reformasi.

Untuk Rafizi Ramli, tokoh yang tewas dalam pemilihan ini, inilah masanya untuk merenung, bukan menyalahkan. Pernah suatu ketika, beliau mengangkat harapan rakyat dengan analisis, keberanian dan idea-idea baharu—terutama ketika Anwar Ibrahim dipenjarakan. Namun zaman telah berubah. Kini, sebagai Menteri Ekonomi, sumbangan beliau lebih banyak diselubungi kekeliruan dan kenyataan media berbanding hasil dasar yang nyata.

Kesilapan besar yang sering berlaku dalam kalangan mantan pembangkang ialah anggapan bahawa menjadi kerajaan hanyalah sambungan kepada kempen politik. Hakikatnya, memerintah bermakna membuat pilihan-pilihan sukar. Kadangkala, janji tidak dapat ditepati—bukan kerana tidak jujur, tetapi kerana tuntutan realiti. Inilah yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim setiap hari sebagai Perdana Menteri. Kuasa itu berat, dan hanya mereka yang sanggup memikulnya dengan tenang dan matang yang layak berada di tampuknya.

Malangnya, Rafizi kini terperangkap dalam zon selesa kritikan. Naratif pasca-kekalahannya berbaur keangkuhan—“Saya betul, jika anda tak setuju, anda salah.” Ini bukan kepimpinan, ini ego. Pemimpin sejati menjadikan kekalahan sebagai cermin, bukan saluran untuk melampiaskan kekecewaan. Jika satu-satunya cara untuk kekal relevan ialah dengan menggoncang parti yang anda dakwa mahu perkuatkan, mungkin sudah tiba masa untuk menyepi seketika dan bermusabah.

Ini bukan sindiran—ini peringatan

PKR, parti yang saya tidak sertai tetapi saya dukung sejak awal penubuhannya atas keyakinan terhadap perjuangan pasangan Anwar dan Wan Azizah, tidak boleh terus terperangkap dalam bayangan ‘pembangkang kekal’. Zaman itu sudah berlalu. Ujian sebenar kepimpinan bukan lagi menyampaikan kebenaran kepada kuasa, tetapi menggunakan kuasa dengan penuh kebenaran. Kita tidak perlukan lebih banyak drama—kita perlukan hasil. Kurangkan pemujaan individu, tingkatkan kerjasama. Rakyat sudah memberi kepercayaan. Sekarang kita perlu membalasnya—setiap hari.

Kepada Izzah, saya katakan: Peluang anda terbentang luas. Anda boleh menjadi pemimpin yang mencorakkan generasi baharu. Tetapi anda perlu bermula sekarang—dengan keberanian, ketegasan, dan kesanggupan untuk memikul beban tanggungjawab, bukan sekadar lambang perjuangan. Anda telah banyak berkorban sejak kecil hingga dewasa. Inilah masa untuk membuktikan bahawa segala pengorbanan itu bukan sia-sia.

Kepada Rafizi, saya seru: Sembuhkan hati. Renung semula perjalanan. Kembalilah dengan semangat baharu. Negara ini masih perlukan anda, tetapi hanya jika anda sedia untuk kembali berkhidmat, bukan berkonflik.

Dan kepada kita semua: Zaman politik sebagai persembahan sudah berakhir. Masa untuk politik yang berpaksikan tujuan dan keberanian telah bermula.

Malaysia boleh. Malaysia mesti.

Related Posts

Bubar DUN atau tarik sokongan? Jangan jadikan mandat rakyat ujian keikhlasan politik

CADANGAN menjadikan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu atau penarikan sokongan di Parlimen sebagai ukuran ‘keikhlasan’ kerjasama politik perlu dilihat dengan lebih rasional. Mandat rakyat bukan alat eksperimen untuk menentukan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Parti kucing, parti janda dan ego tiga penjuru menjelma di Kedah

KENYATAAN Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin letika membahaskan isu politik Kedah pada Perhimpunan Agong UMNO semalam ternyata mengundang perhatian ramai, khususnya dalam kalangan ahli politik dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sindiket seludup rokok tumpas, RM4.89 juta dirampas

  • By Ezmie
  • September 17, 2026
Sindiket seludup rokok tumpas, RM4.89 juta dirampas

EXCO sebulat suara setuju proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz – Ismail

EXCO sebulat suara setuju proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz –  Ismail

Bekalan air merosot, El Nino beri masalah kepada pesawah

Bekalan air merosot, El Nino beri masalah kepada pesawah

DKU: Tuanku Muhriz kekal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

DKU: Tuanku Muhriz kekal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

Lelaki maut motosikal bertembung lori rigid

  • By Fatin
  • September 17, 2026
Lelaki maut motosikal bertembung lori rigid

Jetama kutip 1.658 tan sisa marin dalam dua hari

  • By Ezmie
  • September 17, 2026
Jetama kutip 1.658 tan sisa marin dalam dua hari