Peranan PETROS diiktiraf, Petronas sedia jalin kerjasama strategik di Sarawak

KUCHING – Sarawak terus mengorak langkah memperkukuh kedaulatan dalam sektor tenaga apabila peranan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai Pengagregat Gas tunggal di negeri ini diiktiraf secara rasmi menerusi Deklarasi Bersama antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 21 Mei lalu.

Pelantikan PETROS yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2024 membolehkan syarikat milik penuh negeri itu mengurus keseluruhan rantaian nilai gas asli termasuk perolehan, pembekalan, pengedaran dan penjualan gas di seluruh Sarawak.

Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi, pengiktirafan ini merupakan satu langkah positif yang membuka ruang kerjasama lebih mantap antara PETROS dengan syarikat-syarikat utama industri termasuk Petronas.

“Deklarasi Bersama ini jelas menyatakan bahawa peranan PETROS yang dilantik oleh kerajaan Sarawak sebagai Pengagregat Gas perlu dihormati dan dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak dalam semua aktiviti pengedaran gas di negeri ini,” katanya semasa sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Berbeza dengan negeri lain yang tertakluk kepada Akta Bekalan Gas 1993 dan Suruhanjaya Tenaga, Sarawak melaksanakan kawal selia industri gas melalui Ordinan Pengedaran Gas 2016 (DGO 2016). Di bawah ordinan ini, seorang Pengarah Pengedaran Gas dilantik untuk mengawasi pelesenan dan pematuhan industri.

“Semua pemain industri termasuk Petronas yang terlibat dalam pengedaran dan penjualan gas di Sarawak perlu memohon lesen di bawah Seksyen 7 DGO 2016. Kegagalan mematuhi keperluan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang,” jelasnya.

Sehingga kini, sebanyak 537 lesen telah dikeluarkan kepada pemain industri hiliran dan 14 lesen untuk sektor huluan. Dalam usaha memperkukuh pematuhan, sebanyak 10 notis ketidakpatuhan turut dikeluarkan kepada lima syarikat yang didapati beroperasi tanpa lesen sah.

Bagaimanapun, kerajaan Sarawak bersedia mempertimbangkan permohonan pengecualian pelesenan oleh Petronas bagi aktiviti yang tidak bercanggah dengan peranan PETROS, tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

“Kerjasama strategik antara PETROS dengan Petronas amat dialu-alukan kerana ia mampu menjamin kestabilan bekalan tenaga, menggalakkan pelaburan dan memberi manfaat terus kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pelaksanaan Sarawak Gas Roadmap (SGR) kini giat dilaksanakan melibatkan pembangunan empat hab strategik iaitu di Miri, Samalaju, Bintulu dan Kuching.

Antara projek utama ialah loji janakuasa 500MW di Miri, pembinaan saluran paip gas sepanjang 65 kilometer dari Bintulu ke Samalaju, pelaksanaan Virtual Pipeline System (VPS) dari Bintulu ke Kuching dan pembangunan Hab Karbon Rendah di Kuching.

Tambahnya, kejayaan loji metanol pertama Sarawak, iaitu Sarawak Petchem Sdn. Bhd., telah meningkatkan penggunaan gas domestik daripada 6 peratus kepada 7 peratus sehingga suku keempat 2024 serta menjana 1,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Melalui pelbagai projek berimpak tinggi ini, Sarawak menyasarkan peningkatan penggunaan gas domestik kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2030,” ujarnya.

Sebagai langkah meningkatkan keselamatan dan kualiti operasi industri, semua pemain utama industri gas di Sarawak akan diwajibkan memperoleh pensijilan ISO 29001 bermula tahun 2026.

“Ini membuktikan komitmen kita untuk terus memacu sektor gas ke arah yang lebih tersusun, mampan dan berdaya saing sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab tenaga yang berwibawa,” tegas Julaihi. 

Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Related Posts

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meminda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi memperkukuh tatakelola institusi berkenaan serta memastikan amanah umat Islam terus dipelihara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

AYER KEROH – Kestabilan politik perlu terus dipelihara bagi memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi negara, terutama ketika Malaysia berdepan ketidaktentuan geopolitik global, kata bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua. Beliau berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Harimau Malaya tumbang 0-2 di tangan Vietnam

Harimau Malaya tumbang 0-2 di tangan Vietnam

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

Akar umbi yakin PKR terus perkukuh demokrasi, kepemimpinan parti

Akar umbi yakin PKR terus perkukuh demokrasi, kepemimpinan parti

AUKU langkah ke hadapan, kemenangan besar mahasiswa – Taufiq Johari

AUKU langkah ke hadapan, kemenangan besar mahasiswa – Taufiq Johari

RM80,000 perkasa peluang ekonomi komuniti OKU Perak

RM80,000 perkasa peluang ekonomi komuniti OKU Perak