PBT Pulau Pinang kenakan tindakan penguatkuasaan ke atas 6 binaan haram rumah ibadat

GEORGE TOWN – Sebanyak enam struktur Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) tanpa kebenaran di Pulau Pinang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, ia kebanyakkannya melibatkan ‘shrine’ kecil dan struktur kecil lain yang dibina di atas tanah rizab kerajaan.

Menurutnya, tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang sedia ada berkaitan pembinaan struktur RIBI.

“Enam struktur terlibat terdiri daripada satu di Seberang Perai Utara, dua di Seberang Perai Tengah, dua di Seberang Perai Selatan dan satu lagi di Daerah Timur Laut.

“Ini menunjukkan bahawa tindakan penguatkuasaan telah diambil secara menyeluruh dan berasaskan pemantauan serta pemutihan data yang berterusan,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Siew Khim (DAP-Sungai Pinang) berkata demikian ketika menjawab soalan Amir Hamzah Abdul Hashim (Pas-Permatang Pasir) mengenai jumlah RIBI yang dibina tanpa kebenaran di Pulau Pinang daripada tahun 2023 hingga 2025.

Tambah Siew Khim, daripada tahun 2023 hingga 2024, sebanyak 43 tapak RIBI tanpa kebenaran dikenal pasti di kawasan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), manakala Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) merekodkan sebanyak 149 tapak.

“Bagaimanapun, hasil pemantauan dan pengemaskinian data secara berkala telah menunjukkan penurunan ketara.

“Sehingga Mei 2025, jumlah tapak tanpa kebenaran yang direkodkan di MBPP menurun kepada 115, manakala MBSP mencatatkan hanya 21 tapak,” jelasnya.

Beliau berkata, pendekatan kerajaan negeri selepas ini adalah mempergiat sesi libat urus bersama persatuan RIBI bagi memberi kesedaran tentang pentingnya mengemukakan permohonan rasmi sebelum mendirikan sebarang struktur binaan.

“Kerajaan negeri juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk menggalakkan setiap RIBI mendaftar maklumat terperinci, agar kita mempunyai rekod rasmi kewujudan rumah ibadat ini,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, satu dasar jelas akan dirangka bagi memastikan setiap pembinaan atau pengubahsuaian struktur RIBI perlu memohon Kebenaran Merancang dan mendapatkan pengesahan pelan bangunan menerusi One-Stop Centre (OSC) negeri.

“Ia penting bagi memastikan reka bentuk, struktur dan lokasi bangunan mematuhi Undang‑Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) serta pelan guna tanah yang telah diluluskan.

“Langkah itu adalah selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk menangani isu RIBI tanpa kebenaran secara adil dan menyeluruh, tanpa menjejaskan sensitiviti agama dan keharmonian kaum di negeri ini,” katanya.

Related Posts

Pembekalan baja kepada MADA dilaksana ikut jadual – NAFAS

ALOR SETAR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) telah menyelesaikan sepenuhnya pembekalan 8,275 tan metrik baja urea bagi kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), lebih awal daripada tempoh ditetapkan. NAFAS memaklumkan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sindiket seleweng LPG dalam ladang kelapa sawit tumpas

BALING – Taktik sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang memilih lokasi terpencil di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Ketil, di sini gagal apabila kegiatan itu terbongkar pada…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pembekalan baja kepada MADA dilaksana ikut jadual – NAFAS

Pembekalan baja kepada MADA dilaksana ikut jadual – NAFAS

Sindiket seleweng LPG dalam ladang kelapa sawit tumpas

Sindiket seleweng LPG dalam ladang kelapa sawit tumpas

Hospital Bukit Mertajam tersenarai 250 terbaik dunia – PM

Hospital Bukit Mertajam tersenarai 250 terbaik dunia – PM

RM958 juta lesap akibat penipuan dalam talian setakat Jun – Fahmi

RM958 juta lesap akibat penipuan dalam talian setakat Jun – Fahmi

Kestabilan politik perlu dipelihara demi keyakinan pelabur – Anwar

Kestabilan politik perlu dipelihara demi keyakinan pelabur – Anwar

Pertahanan negara perlukan tambahan peruntukan hingga berbilion ringgit – Anwar

Pertahanan negara perlukan tambahan peruntukan hingga berbilion ringgit – Anwar