
PUTRAJAYA – Setiap ahli PKR harus bermuhasabah diri bahawa parti dibina atas asas perjuangan rakyat, bukan dendam peribadi mahupun perebutan kuasa yang memecahbelahkan perpaduan dalam parti.
Sehubungan itu, Pengarah Strategik PKR Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad menyeru semua calon, penyokong dan jentera parti agar mengamalkan kempen secara tertib, matang serta beretika.
Beliau yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi Pemilihan PKR 2025 berkata, perkara itu sejajar dengan nilai reformasi yang diperjuangkan sejak awal penubuhan parti.
“Kita harus belajar dari pengalaman lalu. Perpecahan hanya akan melemahkan parti. Fokuslah kepada apa yang mahu dilakukan jika diberi mandat, bukannya menyerang untuk menonjolkan diri.
“Akar umbi sedang memerhati dengan teliti bukan sahaja janji-janji yang ditawarkan calon, malah keperibadian dan cara berkempen turut menjadi penilaian penting.
“Pemilihan ini bukan sekadar proses dalaman, ia mencerminkan wajah PKR kepada rakyat. Jangan biarkan kempen 14 hari ini merosakkan 26 tahun perjuangan reformasi,” katanya menerusi kenyataan, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor menegaskan demikian susulan munculnya beberapa kempen yang mula menyentuh serangan bersifat peribadi, sekali gus dilihat menyimpang daripada tujuan sebenar pemilihan.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa semangat setiakawan perlu dipelihara dan dihormati, kerana selepas pemilihan, semua anggota tetap perlu bersama dalam satu saf perjuangan.
“Kita semua adalah anggota dalam satu rumah perjuangan. Jangan kerana perbezaan pilihan, kita menjadi renggang. Jangan kerana semangat, kita terlanjur kata.
“Dalam perjuangan politik, seperti dalam kehidupan, kita saling memerlukan,” katanya.
Pencalonan Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), AMK dan Wanita berlangsung selama dua hari bermula semalam secara dalam talian.
Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat dan Perasmian Kongres Nasional PKR 2024/2025 pula akan diadakan pada 23 Mei manakala Kongres Nasional PKR 2024/2025 pada 24 Mei.




