BENTONG – Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang (Sang Riang) terus mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan daripada sebuah pertubuhan kemanusiaan global.
Pengiktirafan daripada Global Humanitarian Mission (GHM) itu disampaikan dalam satu majlis di Bentong, hari ini.
Majlis berkenaan dihadiri Pengasas GHM, Sadguru Madhusudan Sai dan Pengerusi Sang Riang, Datuk Yap Yoke Moey.
Madhusudan dalam ucapannya berharap Sang Riang dapat meneruskan kerja kebajikan itu dan menjadikan rumah kebajikan berkenaan sebagai antara contoh kepada persatuan lain di seluruh dunia.
“Pencapaian dan kecemerlangan ditunjukkan Sang Riang sejak dua dekad lalu adalah sangat membanggakan.
![]()
“Sudah pasti GHM melihat bahawa model pengurusan dilaksanakan pihak pengurusan Sang Riang adalah sangat menepati prinsip ihsan dan membawa kepada pembentukan masyarakat harmoni,” katanya.
Selain itu, katanya, sebagai pertubuhan yang menaungi persatuan menyediakan perkhidmatan rumah kebajikan di 80 negara, GHM menaruh harapan tinggi supaya lebih banyak rumah kebajikan dapat menawarkan perkhidmatan terbaik, terutamanya kepada warga emas.
“Ini termasuklah kepada golongan yang kurang berkemampuan, dan kerja kebajikan ini bukan hanya menjaga mereka, tapi memberikan golongan ini akses pendidikan, kemudahan perubatan dan makanan yang bersesuaian,” jelasnya.
Hadir sama Pengasas Kriya Lakshmi Ashram, Guru Maa; Pengasas Bavisi Initiative, Sanjay Bavisi dan keluarga; Pengasas Yayasan Myskills Malaysia, Pasupathi dan Pengasas Yayasan Sai Ananda, Ayavoo.
Pada majlis sama, Yoke Moey menerima ‘Pengiktirafan Kemanusiaan Sri Madhusudan Sai’ yang disampaikan oleh Madhusudan sendiri.
Sementara itu, Yoke Moey memaklumkan pengiktirafan diterima Sang Riang daripada GHM menjadi pembakar semangat untuknya dan pihak pengurusan memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua penghuni rumah kebajikan berkenaan.
“Segala pencapaian dan kejayaan Sang Riang adalah hasil usaha keras semua pihak dan saya amat terharu dengan pengiktirafan ini.
“Ia akan menjadikan Sang Riang sebagai pusat sehenti yang sangat dihormati oleh semua pihak kerana kami menjalankan segala kerja kebajikan ini dengan penuh rasa sukarela dan tanggungjawab.
“Saya harap apa yang diperoleh Sang Riang adalah permulaan yang lebih bagus dan gemilang pada masa akan datang,” katanya.







