Polis tembak mati tiga ahli sindiket curi kenderaan pacuan empat roda

ALOR SETAR – Polis menembak mati tiga lelaki yang merupakan ahli sindiket curi kenderaan pacuan empat roda (4×4) dalam serbuan di sebuah rumah inap di Taman Sejahtera, Sik, Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan kira-kira jam 2.30 pagi itu dilakukan hasil risikan berkait kegiatan sindiket mencuri kenderaan di Melaka, Selangor, Pahang dan Perak yang diseludup keluar ke sempadan negara.

Katanya, ketika serbuan, ketiga-tiga suspek berusia 35 hingga 37 tahun bertindak agresif dengan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis dan menyerang menggunakan parang.

“Bagi mempertahankan diri, polis membalas tembakan menyebabkan kesemua suspek mengalami kecederaan parah dan maut di lokasi kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan dua pucuk pistol, beberapa kelongsong peluru dan sebilah parang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.

“Semakan mendapati ketiga-tiga suspek berasal dari Negeri Sembilan dan mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk kes curi kenderaan dan dadah,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, ketika serbuan di rumah berkenaan, pihak polis turut menemui sebuah kereta jenis Honda CR-V yang dilaporkan hilang di Petaling Jaya pada April lalu.

“Pemeriksaan dalam kenderaan itu menemukan 26 nombor plat pendaftaran palsu dan pelbagai peralatan mencuri kenderaan.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak 2023 dan terlibat dalam 73 kes curi kenderaan 4×4. Kita percaya mereka mencuri kenderaan jenis ini kerana ia mudah diseludup menggunakan lorong tikus di sempadan,” katanya.

Menurutnya, pada hari sama sekitar jam 3 petang, satu operasi susulan membabitkan kerjasama Unit Risikan Sempadan (URS), Pejabat Perhubungan Polis Malaysia (MPLO) dan Polis Diraja Thailand berjaya mengesan dua kenderaan Toyota Hilux yang diseludup ke Songkhla, Thailand.

“Dalam operasi terbabit, empat lelaki warga Thailand berusia 34 hingga 58 tahun ditahan di daerah Sabayoi kerana disyaki berperanan sebagai penghantar kenderaan curi ke utara Thailand.

“Polis masih memburu ketua sindiket yang dipercayai warga asing serta beberapa saki-baki ahli kumpulan ini,” katanya.

Orang ramai diseru untuk menyalurkan maklumat berhubung kes curi kenderaan di kawasan masing-masing bagi membanteras jenayah terbabit.

Sementara itu, dalam perkembangan kes melibatkan kehilangan Pamela Ling Yueh sejak 9 April lalu, Mohd Shuhaily berkata, siasatan mendapati kenderaan suspek terlibat menggunakan nombor plat pendaftaran palsu.

“JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) sahkan nombor pendaftaran itu tidak wujud. Polis sedang mengesan kenderaan terlibat berdasarkan jenis kenderaan yang digunakan menerusi rakaman CCTV sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan sempadan Selangor,” katanya.

Related Posts

MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

KOTA KINABALU – Sebanyak lapan pelan tindakan sementara (interim) serta dua inisiatif baharu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sabah dalam menangani isu kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP). Menteri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

KUCHING – Buat julung kalinya, Sarawak Water Sdn Bhd tampil melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM325,000 kepada pihak Baitulmal Sarawak. Majlis penyerahan yang penuh bermakna itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat

R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat