
PUTRAJAYA – Sesi perbahasan sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin membawa signal positif di sebalik krisis wujudnya peluang untuk memperkukuhkan konsensus politik peringkat nasional.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan isu berkenaan menghimpunkan semua pihak rentas blok politik ke arah satu naratif besar iaitu mempertahankan maruah dan kehormatan negara.
Menurutnya, ia merupakan satu contoh bahawa secara domestik, peluang kedaulatan ekonomi yang terjejas mampu menyatukan ahli politik yang dilihat selama ini punca kepada perpecahan.
“Ucapan back-benchers (Ahli-Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan) dan Ketua Pembangkang mewakili hasrat konsensus ini di mana asas konsensus ini berlegar seputar memelihara kepentingan nasional seperti kedaulatan undang-undang negara, kedaulatan menentukan kepentingan pemain industri tempatan dan kebajikan rakyat.
“Parlimen turut sama secara konsensus melihat perlunya peluang platform baharu yang lebih terbuka serta mengukuhkan hubungan pasaran ekonomi ASEAN dengan China serta Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan antara negara-negara ASEAN,” katanya menerusi kenyataan, pada Isnin.

Dalam pada itu, Mujahid memaklumkan, semua pihak bersetuju Malaysia harus mengambil sikap diplomatik dalam rundingan bagi mengimbangi sikap terbuka dalam peperangan perdagangan Amerika-China susulan kedua-dua negara itu adalah rakan utama perdagangan Malaysia, dan ia satu perkara yang perlu ditangani umpama menarik ‘rambut dalam tepung’.
Malah, beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata, idealisme konsep perpaduan harus diterjemahkan kepada konsensus lain seperti dalam isu-isu agama, bangsa dan raja-raja (3R), kebajikan rakyat dan keselamatan negara.
“Kita pernah melalui konsensus dalam isu pandemik COVID-19 walaupun ada juga pihak yang mengambil kesempatan politik untuk menggugat demokrasi berparlimen. Pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memberi peluang kepada lahirnya konsensus politik tetapi tidak dapat memenuhi keseluruhan titah Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu.
“Apakah perbahasan tarif sebagai reaksi terhadap tindakbalas Presiden Donald J. Trump di Parlimen hari ini satu peluang mencetuskan konsensus dan menyatukan ahli-ahli politik untuk menjamin kestabilan dan kedaulatan negara.
“Jikalau semua blok politik dapat mendidik penyokong masing-masing dengan naratif yang mereka sampaikan dalam sesi Parlimen hari ini, politik kita akan menjadi lebih matang, objektif dan menuju ke titik tengah yang sangat diperlukan hari ini,” katanya.





