Undang-undang baharu perkasa Mahkamah Anak Negeri Sabah

TAMBUNAN – Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 1992 akan digantikan dengan undang-undang baharu bagi memperkemas struktur dan memperkasa institusi Mahkamah Anak Negeri di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah telah menyediakan draf Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 2025 yang kini sedang diteliti oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

“Draf ini juga memerlukan ulasan daripada Pejabat Peguam Besar Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri dan Kementerian Kewangan sebelum diangkat ke Jemaah Menteri dan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri.

“Ini yang sedang kita buat bagi memastikan agar Mahkamah Anak Negeri lebih berkesan dan relevan,” katanya ketika melancarkan Pesta Kaamatan 2025 di Dewan Terbuka Pisompuruan, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, langkah tersebut adalah antara banyak inisiatif yang sedang dilaksanakan kerajaan untuk memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Mengulas mengenai pembangunan sektor pertanian, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri komited memperkukuh keterjaminan makanan melalui usaha meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) hasil pertanian.

Katanya, ketika ini SSL Sabah hanya 22.8 peratus dan negeri masih bergantung kepada makanan yang diimport.

“Justeru, kita menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) serta membangunkan semula 22,146 hektar sawah padi terbiar di Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Keningau, Papar dan Tambunan,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha itu akan membantu Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) meningkatkan SSL Sabah kepada 30 peratus menjelang 2026 dan 60 peratus menjelang 2030.

Dalam pada itu, Hajiji berkata pelaksanaan program Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (REPLB) yang dilancar 30 April lalu adalah strategi untuk memacu ekonomi petani dan komuniti luar bandar melalui pertanian moden, pembukaan pasaran baharu dan pengukuhan sokongan rantaian bekalan.

Katanya, program ini bukan sahaja memartabatkan ekonomi luar bandar, malah membantu mewujudkan peluang pekerjaan serta menarik minat belia untuk kembali menyumbang kepada pembangunan kampung.

“Apabila pendapatan meningkat, peluang pekerjaan diwujudkan dan golongan muda kembali ke kampung dengan ilmu dan harapan, maka komuniti akan menjadi lebih kukuh dan sejahtera,” katanya.

Mengulas sambutan Pesta Kaamatan, beliau berkata ia bukan sahaja acara meraikan hasil tuaian, malah lambang perpaduan dan keharmonian rakyat Sabah.

Tema Kaamatan tahun ini ‘Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan’, menurutnya adalah simbol penyatuan dan penghormatan terhadap kepelbagaian budaya serta aspirasi Malaysia MADANI.

“Ia menekankan bahawa Pesta Kaamatan bukan hanya milik satu komuniti, tetapi satu
perayaan bersama yang merangkul semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar
belakang.

“Kaamatan kini bukan hanya pesta menuai. Ia menjadi lambang penyatuan rakyat, satu ruang untuk kita saling mengenali, menghormati dan meraikan keunikan budaya masing-masing.

“Tema ini juga mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyatukan rakyat Sabah dari pelbagai lapisan masyarakat bagi meraikan warisan budaya kita yang kaya dan pelbagai,” katanya.

Related Posts

Sekolah, NGO disaran wujud platform bantuan pengurusan haid remaja

TAWAU – Pihak sekolah atau badan bukan kerajaan (NGO) digalakkan mewujudkan saluran bantuan berkaitan pengurusan haid perlu bagi memastikan remaja atau pelajar perempuan khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat akses…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PKR Perlis tawar bantuan guaman kepada keluarga murid didakwa mangsa buli

PADANG BESAR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perlis menerusi Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Biro Guaman Majlis Pimpinan Negeri (MPN) tampil menawarkan bantuan guaman kepada keluarga seorang murid cemerlang yang…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Program MADANI Kita jambatan penting kerajaan-rakyat – KP JKOM

Program MADANI Kita jambatan penting kerajaan-rakyat – KP JKOM

Pengampunan bersyarat Najib: Anthony lepas jawatan Menteri Pengangkutan

Pengampunan bersyarat Najib: Anthony lepas jawatan Menteri Pengangkutan

Pengampunan bersyarat Najib tidak ubah status kes 1MDB – SPRM

Pengampunan bersyarat Najib tidak ubah status kes 1MDB – SPRM

Sekolah, NGO disaran wujud platform bantuan pengurusan haid remaja

  • By Fatin
  • September 19, 2026
Sekolah, NGO disaran wujud platform bantuan pengurusan haid remaja

PKR Perlis tawar bantuan guaman kepada keluarga murid didakwa mangsa buli

PKR Perlis tawar bantuan guaman kepada keluarga murid didakwa mangsa buli

Wanita hamil, kanak-kanak antara 36 warga Indonesia ditahan cuba lolos secara haram

Wanita hamil, kanak-kanak antara 36 warga Indonesia ditahan cuba lolos secara haram