PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu, termasuk seorang bergelar Datuk Seri kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM360 juta.
Sumber berkata, semua suspek terdiri tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 50 hingga 70-an itu ditahan antara jam 4 hingga 6 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati mereka dipercayai mengemukakan tuntutan palsu sekitar tahun 2016 hingga 2017.
“Tuntutan membabitkan dana sukuk sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.30 bilion,” katanya.
Difahamkan, tuntutan itu dikemukakan bagi mendapatkan pembayaran tidak sah berkaitan projek infrastruktur terbabit.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan penahanan itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini untuk permohonan reman.









