
KUCHING – Sabah dan Sarawak masing-masing bakal menerima Pemberian Khas interim berjumlah RM1.5 bilion, satu peningkatan ketara yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu selaras dengan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menunaikan tanggungjawab yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, penambahan dana secara interim itu merupakan penyelesaian sementara ketika pusingan rundingan rasmi bagi memuktamadkan formula pemberian tersebut masih diteruskan.
“Terdahulu kita telah menaikkan pemberian khas ini daripada RM200 juta, RM400 juta, RM600 juta untuk interim sementara rundingan diteruskan, kepada RM1.5 bilion untuk Sabah.
“Dan untuk Sarawak, (walaupun) saya katakan kepada Premier (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) bahawa kedudukan kewangan Sarawak kini kuat, kita tidak (mengecualikan mereka), kita berikan RM1.5 bilion juga untuk Sarawak,” katanya.




