Gua Cenderawasih: Warisan geologi atau sekadar tempat minum kopi?

ISU pembinaan sebuah kafe di Gua Sami atau nama rasminya, Gua Cenderawasih, yang digazetkan sebagai geotapak kebangsaan dalam Geopark Perlis, telah membuka ruang perdebatan besar tentang hala tuju sebenar pemuliharaan alam semula jadi dan pembangunan pelancongan di negeri Perlis.

Dalam keghairahan membina tarikan baharu, nilai sejarah dan geologi yang telah terbentuk ribuan tahun berdepan risiko pemusnahan akibat kecuaian pentadbiran dan kerakusan komersialisme.

Perlis, negeri terkecil di Malaysia, memperoleh pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan pada tahun 2023. Pengiktirafan ini membawa bersamanya tanggungjawab berat untuk memelihara khazanah alam yang unik, termasuk gua batu kapur tertua negara, bukit-bukit fosil dan tapak geologi bernilai tinggi.

Malangnya, rancangan pembinaan kafe di dalam Gua Sami memperlihatkan seolah-olah pengiktirafan itu sekadar simbol, bukan komitmen.

Kerja-kerja mengecat permukaan stalaktit dan stalagmit di dalam gua tersebut jelas menyalahi peruntukan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Seksyen 62 secara terang menyebut bahawa mengubah atau merosakkan warisan semula jadi termasuk mencemarkan, melukis atau mengecat formasi batu adalah satu kesalahan jenayah. Hukuman maksimum ialah penjara lima tahun atau denda RM50,000, atau kedua-duanya sekali.

Lebih membimbangkan, tindakan mengecat batu kapur bukan hanya menjejaskan rupa bentuk semula jadi, malah mengganggu proses geologi semula jadi pembentukan mineral kalsium karbonat yang membentuk stalaktit dan stalagmit.

Menurut pakar geologi, satu inci stalaktit boleh mengambil masa sehingga ribuan tahun untuk terbentuk. Maka, sebarang kerosakan akibat bahan kimia atau perubahan kelembapan boleh membawa kesan kekal bahkan tidak mungkin pulih sama sekali.

Reaksi masyarakat terhadap isu ini nyata lantang. Seorang pengguna media sosial Facebook menggunakan nama akaun Nur Amira Hazwani menyuarakan kebimbangan besar terhadap matlamat Geopark Perlis.

“Saya boleh pejam mata berkaitan idea parking berpalang untuk menjadikan Perlis negeri ‘berDigital’. Tapi untuk matlamat Perlis Geopark ke arah Geopark Antarabangsa setanding Langkawi dan Satun, mungkin agak berat kalau nilai seperti ini pun tak boleh dipantau,” tulisnya.

Pandangan ini mewakili keresahan warga marhaen yang semakin sedar akan kepentingan warisan geologi negeri, namun kecewa apabila pemeliharaan diabaikan demi keuntungan jangka pendek.

Apa yang lebih mengecewakan ialah sikap membisu kerajaan negeri, Exco Alam Sekitar dan Sumber Asli Negeri Perlis serta Jawatankuasa Geopark Negeri. Kesemua pihak ini seharusnya tampil ke hadapan menjelaskan pendirian dan mengambil tindakan segera apabila berlaku pelanggaran jelas terhadap tapak warisan kebangsaan.

Ketika netizen dan NGO sudah bersuara, kealpaan pihak bertanggungjawab menimbulkan persoalan: adakah geopark ini benar-benar mahu dilindungi, atau sekadar alat promosi pelancongan?

Dalam pada itu, baru-baru ini, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) cuba mempertahankan tindakan pembinaan dengan alasan bahawa struktur kafe adalah sementara dan tidak mengubah struktur asal gua. Namun penjelasan ini tidak menjawab persoalan paling asas, mengapa perlu bina kafe dalam gua yang digazetkan sebagai warisan geologi? Adakah tiada cara lain untuk mempromosikan pelancongan tanpa merosakkan aset paling berharga negeri?

Konsep geopark bukan sekadar ‘lokasi menarik’. Ia ialah gabungan pemuliharaan, pendidikan dan pembangunan lestari. Jika Perlis benar-benar serius mahu menyaingi Langkawi dan Satun untuk mencapai status Global Geopark UNESCO, ia mesti menunjukkan integriti dalam pelaksanaan dasar bukan hanya bergantung pada sijil pengiktirafan.

Disimpulkan, pembinaan kafe di Gua Sami menjadi simbol kepada pertentangan dua nilai: antara kekayaan warisan semula jadi dan keghairahan pembangunan pantas tanpa asas.

Jika pemimpin negeri masih diam, rakyat yang sedar tentang nilai geologi inilah yang perlu terus bersuara. Warisan geologi bukan milik satu pentadbiran, ia hak generasi masa depan.

Related Posts

Pantun PMX bukan sekadar madah, isyarat bahtera MADANI kekal teguh

Di sebalik rangkap pantun yang dimuat naik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook, tersirat satu mesej politik yang jelas iaitu perbezaan pandangan tidak harus diterjemahkan sebagai perpecahan, sebaliknya…

Lebih lanjut

teruskan membaca
KWAP rugi RM200 juta, siapa sebenarnya meluluskan pelaburan?

Oleh: Hanapi Jusoh SEJAK isu pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam eFishery menjadi perhatian, ada pihak yang terus menuding jari kepada Perdana Menteri (PMX). Tetapi persoalannya, adakah tuduhan itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‘Ibarat bercakap dengan batu’, penduduk kecewa tuntutan bina Hospital Gemas diabaikan Ridzuan 

‘Ibarat bercakap dengan batu’, penduduk kecewa tuntutan bina Hospital Gemas diabaikan Ridzuan 

Ucapan penyandang DUN Labu cetus polemik, sentuh pewarisan takhta Negeri Sembilan

Ucapan penyandang DUN Labu cetus polemik, sentuh pewarisan takhta Negeri Sembilan

Pengundi Negeri Sembilan tolak retorik politik, pilih kesinambungan pentadbiran PH

Pengundi Negeri Sembilan tolak retorik politik, pilih kesinambungan pentadbiran PH

Laporan RCI TH perlu didedah segera, rakyat ada hak tahu kebenaran

Laporan RCI TH perlu didedah segera, rakyat ada hak tahu kebenaran

PH tawar kestabilan, BN masih cari formula kemenangan – Ustaz Shahir

PH tawar kestabilan, BN masih cari formula kemenangan – Ustaz Shahir

TH raih dua anugerah berprestij pengurusan hartanah

TH raih dua anugerah berprestij pengurusan hartanah