KUANTAN – Seorang suri rumah mengalami kerugian RM150,190 selepas terperdaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula 21 Januari lalu selepas mangsa berumur 58 tahun dari Temerloh melihat iklan pelaburan saham di Facebook.
Mangsa kemudian berurusan dengan tiga individu melalui aplikasi WhatsApp.
“Mangsa diarahkan memuat turun satu aplikasi serta menyertai kumpulan WhatsApp diberikan suspek.
“Dalam tempoh antara 23 Februari hingga 18 April lalu, mangsa membuat 13 transaksi pembayaran ke dua akaun berbeza menyebabkan kerugian RM150,190.
“Wang itu adalah wang simpanan peribadi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Yahaya berkata, pada pertengahan April lalu mangsa menerima keuntungan RM11,600 namun dia diminta membuat pembayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan hasil pelaburan tersebut.
Katanya, mangsa akhirnya menyedari menjadi mangsa penipuan setelah tidak dapat mengeluarkan baki pelaburan seperti dijanjikan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.





